Apabila kita bercerita tentang TEAM COFA di forum Malaysia Fishing.net, rata-rata ahlinya terdiri daripada pemancing tegar kolam air tawar. Setakat ini hampir kesemua kolam memancing air tawar di Lembah Klang telah dilawati oleh ahli team COFA ini. Oleh kerana sudah khatam memancing di kolam-kolam sekitar Lembah Klang, maka timbullah keinginan meraka untuk memancing di kolam yang lebih extreme serta mampu memberi kami kepuasan memancing sehingga maksimum.
Oleh itu, cadangan ini telah saya sampaikan pada rakan saya Fahiz Hussin dari D7L dan ia telah disambut baik oleh beliau. Maka satu trips gabungan D7L & COFA yang rata-rata ahlinya dari Lembah Klang telah dirancang dan lokasi yang menjadi pilihan kami ialah Bungsamran Fishing Pond di Bangkok, Thailand. Seramai 9 orang yang terdiri daripada team D7L & COFA telah menyertai trips ke kolam yang sememangnya terkenal di seluruh dunia ini dengan ikan-ikan yang berasal dari Sungai Mekong dan Amazon. Perjalanan kami bermula seawal pagi di Lapangan Terbang LCCT dengan penerbangan yang paling awal ke Bangkok dan kami tiba di Lapangan Terbang Suvarnahbumi Bangkok pada pukul 11.00 pagi.
Setibanya kami di Airport Suvarnahbumi, van yang telah ditempah terlebih dahulu telah menanti kami dan perjalanan ke Bungsamran mengambil masa 40 minit dari lapangan terbang Bangkok.
Bungsamran Fishing Pond
Ikan patin Mekong atau istilah tempatannya Plabuk (Mekong giant catfish, Pangasianodon gigas) merupakan spesis ikan air tawar yang hanya terdapat di sepanjang Sungai Mekong yang merentasi sepanjang negara Thailand & Kemboja. Pernah dikhabarkan bahawa ikan tersebut seberat lebih 300 kilo pernah didaratkan oleh nelayan tempatan semasa menjaring di sungai Mekong. Sememangnya ikan Plabuk ini sangat terkenal dengan saiz gergasinya dan kemampuannya berlawan setara dengan kekuatan ikan-ikan gergasi lain yang tinggal di Amazon.
Dengan berbekalkan set bersaiz kasar, kami tiba di Bungsamran Fishing Pond dengan seribu harapan. Sememangnya kami amat teruja semasa tiba di Bungsamran kerana selama ini kami hanya mampu memandang dan melihat Bungsamran serta hasil pancingannya melalui majalah pancing dan internet sahaja. Keadaan di sana cukup berbeza dengan keadaan di kolam-kolam yang terdapat di tanahair. Pelbagai kemudahan telah disediakan di tempat ini seperti restoran, chalet dan kedai peralatan pancing dengan perbagai barang memancing yang berjenama dan berkualiti. Selepas membuat pembayaran penginapan, kami telah memutuskan untuk mengambil 2 jenis pakej memancing yang berlainan dalam masa 24 jam iaitu pakej memancing Ikan Patin Mekong atau Plabuk dan Arapaima (Arapaima gigas or pirarucu). Seramai 4 orang guide telah di tempah untuk membantu menunaikan impian kami untuk menawan ikan yang menjadi idaman setiap pemancing ini. Di Bungsamran, hanya pancingan catch & release sahaja yang di benarkan. Setiap ikan yang di pancing akan dilepaskan dengan selamat tanpa ada apa-apa kecederaan.
Guide
Dengan membayar hanya 1000 Bath untuk seorang guide di Bungsamran, setiap proses bancuhan umpan, mengikat mata kail dan tali shock leader semuanya disediakan oleh mereka. Malah mereka juga membuat balingan umpan dan membuat sentapan apabila ikan memakan umpan. Kita hanya melayan tarikan ikan dan mereka akan membantu kita menaikan ikan ke darat selepas ikan tersebut tewas. Sangat mudah dan servis yang disediakan sangat baik. Saya difahamkan terdapat 12 000 ekor Plabuk pelbagai saiz yang berada di dalam kolam ini dan telah direkodkan bahawa ikan Plabuk seberat 150kg ada menghuni di dalam kolam tersebut. Ini tidak termasuk ikan jenis lain seperti Alligator Gar , Toman, Pacu, Patin, Siamese Carp dan banyak lagi. Semua ini adalah untuk memastikan setiap pemancing yang datang ke Bungsamran dapat memancing sepuas hati dan tiada istilah kumpau semasa memancing di sini.
Plabuk
Selepas makan tengahari, tepat pukul 1 tengahari, sesi memancing terus bermula. Saya telah menjadi orang yang paling bertuah kerana umpan dari joran saya ialah yang pertama telah diragut ikan. Ternyatalah saya telah memandang rendah kemampuan ikan Plabuk ini. Pengalaman menaikan ikan patin bagak di tanahair semuanya tidak boleh dipakai. Ternyatalah kekuatan Ikan Plabuk ini 5 kali ganda kekuatannya berbanding Ikan Patin di tanahair kita. Saya yang menggunakan Rod Poping Seed PE 6-8 Custom made bersama mesin Shimano TwinPower SW12000HG hanya mampu melihat tali menderu-deru keluar daripada drag walaupun ketika itu drag telah dikunci pada tahap maksimum. Ketika itu setiap sendi mulai terasa sakit akibat tekanan yang amat kuat. Perlawanan tarik menarik ini telah memakan masa 20 minit dan ikan masih tidak kelihatan lagi dan masih jauh di tengah kolam. Setelah berhempas pulas selama 25 minit, akhirnya saya berjaya menaikan Ikan Plabuk dalam anggaran berat 25 kilo. Ketika itu kami mula terkedu melihat ikan yang hanya bersaiz 25 kilo tetapi mampu memberi perlawanan bagaikan ikan bersaiz 50 kilo. Mulalah ada segelintir rakan-rakan yang lain mula menyesal kerana ada yang hanya membawa set yang bersaiz ringan seperti PE 1-3 dan mesin bersaiz 4000.
Arapaima Gigas
Sementara kami berhempas pulas melawan asakan Plabuk, salah seorang guide telah menyediakan umpan khas untuk mengumpan ikan Arapaima. Di Bungsamran, mereka mengunakan seekor ikan kembung mati untuk dijadikan umpan ikan Arapaima. Sebelum itu, perut ikan serta potongan ikan kembung ditabur terlebih dahulu sebagai rasuah. Lokasi memancing Arapaima juga berlainan dengan beza jarak hampir 50 meter dari tempat kami melayan Plabuk ini kerana di kawasan kami terlebih dahulu telah pun dirasuah umpan plabuk. Kehadiran ikan Plabuk yang banyak di kawasan kami juga boleh menyebabkan ikan Arapaima tidak akan datang di kawasan tersebut. Selepas menabur rasuah perut dan potongan ikan, kawasan tersebut hendaklah di biarkan seketika supaya ikan pemalu ini menghampiri kawasan yang telah di rasuah. Selepas mendapati kehadiran ikan tersebut, barulah pancing yang berumpankan seekor ikan kembung di hulurkan. Pada ketika itu hanya satu rod milik Fahiz sahaja yang digunakan untuk menawan ikan Arapaima. Ini kerana hanya seekor sahaja ikan Arapaima yang di benarkan untuk dipancing dalam satu pakej. Dan jikalau sekiranya kita gagal untuk menaikan seekor ikan Arapaima pada sesi tersebut, maka wang bayaran akan dikembalikan semula kepada kita. Penantian itu satu penyiksaan, memancing ikan Arapaima tidak sama seperti memancing ikan Plabuk yang bagaikan “ letak, makan, letak, makan”, Fahiz terpaksa menunggu lebih 3 jam untuk menunggu ikan tersebut memakan umpan. Dan pada pukul 4 lebih, kelihatan rod Fahiz melengkung kuat. Tanpa membuang masa, Fahiz yang menggunakan rod popping Carpenter Custom Made PE 8 – 10 bersama mesin Shimano Stella SW20000 melayan asakan Arapaima. Perlawanan sengit antara Fahiz dan Arapaima mengambil masa hampir satu jam dan akhirnya Araipaima bersaiz 100kg telah berjaya di tewaskan. Keadaan Bungsamran Fishing pond ketika itu menjadi riuh rendah, ini memandangkan dengan kehadiran hampir semua pengunjung yang berada di sana berkumpul untuk melihat dan mengambil gambar detik-detik yang jarang dilihat ini. Selepas ikan tersebut tertewas, ikan tersebut dibawa ke kawasan kuarantin di pinggir kolam supaya ikan tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan untuk sesi bergambar. Peluang yang ada tidak kami lepaskan. Peluang bergambar dengan ikan Arapaima mungkin muncul sekali seumur hidup. Kami bergambar sepuas yang mungkin supaya menjadi kenangan hingga ke anak cucu. Apa yang lebih membanggakan Fahiz merupakan orang Malaysia pertama yang berjaya memancing Arapaima di Bungsamran dan rekod Arapaima yang pernah dipancing sebelum ini ialah seberat 70 kg pada 7 tahun yang lepas. Sememangnya kejayaan Fahiz menewaskan Arapaima akan dimasukkan ke dalam buku rekod Bungsamran Fishing Pond.
Malam Di Bungsamran
Selepas berendam dan mengambil gambar ikan arapaima bersama rakan-rakan yang lain, kami mula menyambung aktiviti memancing ikan plabuk. Apa yang kami lihat, saiz tangkapan ikan tersebut lebih besar apabila malam mulai menjelma. Pada siang hari kami hanya berjaya menaikan ikan yang rata-rata bersaiz 20-40kg sahaja, dan apabila maghrib mula menjelang kami telah berjaya menaikan ikan yang bersaiz lebih besar lagi. Tetapi kemeriahan memancing pada waktu malam di Bungsamran tidak semeriah memancing di waktu pagi. Ikan kelihatan culas untuk memakan umpan pada waktu malam, kami perlu menunggu lama dan hanya beberapa pancing sahaja yang mengena ikan. Bezanya, ikan yang memakan umpan pada waktu malam saiznya boleh dianggarkan lebih 35kg dan kebanyakkan rekod-rekod ikan yang bersaiz gergasi diperolehi semasa memancing pada waktu malam. Mood rakan-rakan yang lain pun sudah berkurangan. Selepas dibuli teruk oleh ikan Plabuk pada siang hari, masing-masing mengambil kesempatan untuk berehat dan bersantai-santai di kawasan chalet Bungsamran. Peluang membeli belah di kedai pancing 7sea Pro Shop di Bungsamran juga tidak dilepaskan.
Hanya saya, Noob, Azly dan Sawak sahaja yang masih berjuang untuk memancing pada waktu malam. Tapi apakah daya, mata kami tidak lagi mampu bertahan. Kepenatan melampau telah membuat kami hanya mampu bertahan sehingga pukul 3 pagi sahaja. Umpan yang disediakan guide juga telah kehabisan. Umpan dedak yang baru hanya boleh dipesan seawal pagi nanti. Hanya lebih kurang 15 ekor ikan plabuk yang kami berjaya naikan semasa memancing pada waktu malam.
Awal Pagi
Memandangkan pakej memancing habis pada pukul 12 tengah hari, kami telah pun bangun seawal pagi menyambung acara bersama ikan Plabuk. Kelihatan pada di awal pagi ikan Plabuk lebih banyak bermain-main di tengah kolam . Umpan hanya perlu dibaling di kawasan tersebut sahaja. Sememangnya ikan plabuk pada hari ke-2 lebih mudah terpedaya berbanding hari pertama. Keadaan menjadi meriah semula memandangkan masing-masing telah cukup rehat dan tidur untuk bertarung semula dengan ikan Plabuk. Noob dan Sawak menjadi orang yang paling bertuah ketika ini kerana berjaya menaikan ikan yang paling besar sepanjang kami berada di Bungsamran iaitu seberat 50kg.
Berangkat Pulang
Masa sememangnya mencemburui kita. Pengalaman memancing di Bungsamran bagaikan seketika sahaja. Tepat pukul 12 tengahari masa memancing kami telah pun tamat. Barang-barang memancing & baju hendaklah dikemas semula. Ketika itu mulalah kedengaran bisikan rakan-rakan yang masih tidak puas memancing dan ada yang ingin kembali semula ke sini.
Bagi saya pengalaman memancing di Bungsamran Fishing Pond di Bangkok ini merupakan pengalaman yang cukup berharga. Perlawanan tarik menarik dengan ikan Plabuk bersaiz gergasi tidak akan saya lupakan. Terdetik di hati bertanya mengapa kolam seperti ini tiada di negara kita, tapi tidak mampu untuk saya menjawapnya. Kepuasan sememangnya terpancar pada air muka rakan-rakan yang menyertai trips ini. Lesen idaman telah berada dalam gengaman. Pengalaman menaikan ikan Plabuk lebih 120 ekor dalam tempoh sehari sememangnya sangat menakjubkan dan memenatkan.
Suasana pulang menuju ke lapangan terbang ternyata sunyi sepi dan kedengaran bunyi dengkuran rakan-rakan yang terlelap kepenatan. Sememangnya Bungsamran Fishing Pond merupakan syurga buat peminat pancingan kolam disamping dapat menguji semaksimum yang mungkin rod dan mesin milik masing-masing. Kalau ada rezeki kami akan datang lagi!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan