Isnin, 23 April 2012

Mabuk Laut...?



Mabuk Laut

Memang masalah jika mabuk laut ketika memancing. Segala aktiviti pasti tidak dapat diteruskan. Antara kemungkinan terkena mabuk laut ini ialah:
  • Tidak biasa memancing di lautan yang bergelora.
  • Kurang rehat dan tidur.
  • Perut kosong dan masuk angin.
  • Terbau asap dari enjin bot.
  • Salah makan.
Walaupun banyak punca terjadinya mabuk laut. Perbagai petua yang telah diberi untuk mengelakkan kejadian mabuk laut. Kadang kala saya rasakan terdapat juga petua yang tidak masuk akal yang tidak terbukti akan mengelakkan mabuk laut seperti minum air laut atau minum air coke.

Antara petua yang pernah saya dengar ialah:
  1. Pakai koyok (detox) di perut  - dikatakan akan membuang angin diperut
  2. Minum air halia sebelum naik bot - dikatakan akan membuang angin diperut
  3. makan buah-buahan masam ubat mabuk laut - untuk menghilangkan rasa loya
  4. Memancing duduk ketika gelora - supaya tidak terpengaruh dengan gelora laut
  5. Udara segar laut boleh cegah mabuk - menyegarkan minda dan badan
  6. Elak terlalu kenyang, jangan terlalu lapar - mengelakan perut kosong
  7. makan ubat anti mabuk (Novomin)   - ubat-ubatan untuk mencegah mabuk
  8. pakai ear plug - mengekalkan kestabilan
  9. tengok pemandangan -  supaya tidak terpengaruh dengan gelora laut
  10. minum air kopi O kosang  sebelum naik bot  - untuk buang angin
Bagi saya, tidak kira berapa banyak petua yang digunakan, pasti ia tidak akan berkesan sekirannya badan kita tidak cukup rehat dan tidur. Pastikan badan mendapat rehat yang secukupnya sebelum pegi memancing. 

Selain itu, minda juga memainkan peranan untuk mengelakkan mabuk laut. Kadang kala anggapan yang bukan-bukan boleh menyebabkan mabuk laut. Sentiasa berfikiran positif dan jangan banyak berfikir. Apabila minda menjadi stress, kepala akan menjadi sakit kepala dan akan memungkinkan mabuk laut.

Makan  sebelum menaiki bot. Ini kerana untuk mengelakkan perut menjadi kosong. Sudah pasti selera makan akan berkurangan apabila berada di atas bot yang bergoyang-goyang. Kurangkan memakan makanan ringan kerana banyak menggandungi pewarna dan perasa tiruan

Cara pulih mangsa mabuk laut


Masalah mabuk laut masih terus diperkatakan. Ini kerana kelemahan yang sukar dikawal dan dirungkai sebabnya itu menjadi satu masalah besar kepada pemancing. Di mana saja kita pergi, orang akan bertanya bagaimana untuk mengatasi masalah berkenaan terutama yang dialami pemancing baru.


Pernah berlaku kepada beberapa rakan pancing yang baru berkenalan dengan laut mengalami mabuk teruk hingga terpaksa dipapah naik ke darat. Ada juga antara mereka juga rebah dan merangkak.


Jika ini berlaku, langkah pertama yang perlu diambil ialah :

  • Mangsa perlu direhatkan untuk beberapa ketika dalam bot sebelum di naik ke darat. Bantu mangsa berdiri dengan cara memimpin (bantuan kawan). 
  • Jangan sekali-kali biarkan mereka turun dari bot atau memanjat tangga jeti sendiri. Ini untuk mengelakkan mangsa jatuh dan kepalanya terhentak pada benda keras atau terhumban ke laut di pangkalan.
  • Rehatkan mangsa di tempat redup dan kawasan lapang di darat. Lakukan rawatan ringan seperti memicit tengkuk  serta memberi minum air masak. Jika boleh, sediakan makanan masam bagi membasahkan tekak yang sudah kering itu.
  • Setelah rasa lega cuba bangunkan mangsa. Jika didapati keadaan berdirinya masih belum dapat dikawal dengan baik, rehatkan mangsa buat kali kedua. Lakukan ini beberapa kali. Insya-Allah mangsa akan dapat mengawal diri walaupun masih terasa bumi yang dipijak bergoyang ketika berjalan dalam rumah atau berada dalam tandas.
  • Tidur adalah cara paling baik untuk merehatkan badan yang keletihan akibat mabuk laut. Tapi perlu diingati, tidur terlalu banyak akan memudaratkan lagi mabuk laut dan sakit kepala.
  • Sapu minyak angin yang tidak terlalu kuat berbau. Ramai menganggap menyapu minyak angin cap kapak mampu melegakan mabuk laut, tapi mengikut pengalaman saya, bau yang terlalu kuat dari minyak angin ini menyebabkan mabuk laut bertambah teruk. Dan bau minyak ini juga mengganggu pemancing lain. Kadang kala bau minyak ini yang terlalu kuat boleh menyebabkan rakan yang lain turut serta mabuk laut.
Kesimpulannya, apabila kita sering kelaut, badan kita akhirnya akan immune dengan masalah mabuk laut ini. Kalau tidak percaya, rajin-rajinlah turun kelaut sekurang-kurangnya sebulan sekali.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...