Isnin, 8 Ogos 2011

Dewan Kegemilangan - 5



Sekali lagi, salah satu trips yang telah diuruskan oleh saya sendiri ketika di Kemaman telah menjadi salah satu tajuk utama di akhbar Berita Harian pada hari Sabtu (6th August 2011) yang lepas. Ucapan terima kasih  dan penghargaan kepada wartawan SISIPAN JORAN dari akhbar Berita Harian iaitu En Zulhilmi Hat kerana sudi menerbitkan artikal berkenaan trip ini. Di sini saya sertakan artikal berkenaan yang telah saya copy dari http://www.bharian.com.my/bharian/articles/CabaranasyikEbekPerak/Article/index
 NORISWAN dengan tangkapan ebek seberat 7kg 
dengan menggunakan umpan udang hidup.

Cabaran asyik Ebek Perak
Oleh Zulhilmi Hat 
2011/08/06

Spesies lazat jadi gilaan kaki pancing

SABAN tahun sekitar bulan April hingga Ogos dikira waktu terbaik untuk memancing ikan Ebek (Diamond Trevally) yang banyak terdapat di perairan Terengganu hingga ke selatan negeri Johor.

Ebek berwarna perak ini adalah spesies yang mampu memberi perlawanan yang mengasyikkan selain mempunyai isi yang lazat dan sentiasa menjadi gilaan kaki pancing.

Oleh sebab itu, satu trip singkat selama sehari semalaman yang diketuai Akashah, Norizwan, Nazarul, Azlan, Pejal Dan Abang Man berkunjung ke Kemaman baru-baru, semata-mata untuk menawan ikan ini.
Berbekalkan kira-kira 100 ekor umpan udang hidup, kumpulan dari Shah Alam ini menuju ke lubuk pertama dikenali unjam Mat Riang yang terletak kira-kira 2 jam dari Jeti Kemaman.

Dekat lubuk ini, tekong Mat memberitahu ebek banyak terdapat dekat sini susulan daun-daun kelapa yang diletakkan beliau sejak setahun lalu berjaya memanggil kumpulan spesies ikan penghijrah berkumpul dekat unjam ini.

Noriswan yang bersedia dari awalnya bergegas menurunkan umpan udang hidup terus disambar mangsa dari bawah bot. Beliau yang tidak sempat menyiapkan joran keduanya terus menyambar joran tadi dan untuk menarik mangsa yang dipercayai ikan ebek.

Perlawanan tarik tali mereka berterusan kira-kira lima minit apabila joran kekuatan 10-30 lb milik Noriswan dipaksa melentur oleh ebek yang melarikan diri bawah bot. Tali berkekuatan 60 paun (lb) dari kekili mendatar Shimano TLD milik beliau mencurah-curah keluar walaupun sistem regangan diketatkan hampir maksimum.
Noriswan yang masak dengan teknik ebek gemar membuat aksi terjunam saat akhir bergegas melaraskan sistem regangan ke tahap sederhana kerana bimbangkan mata kail mungkin terlucut dari mulut ebek yang lembut itu.

Akhirnya, kemunculan ebek di permukaan membawa kemenangan kepada Noriswan apabila ikan itu berjaya didaratkan dengan mudah akibat keletihan selepas berhempas pulas kira-kira 10 minit. Selepas ditimbang, ebek seberat 7 kilogram (kg) menjadi rekod peribadi milik beliau yang tidak pernah memperoleh ikan ebek sebesar ini.

Di bahagian belakang bot, tiga ekor ebek turut berjaya didaratkan yang menamatkan pancingan ebek pada hari itu. Selain ebek, ikan tenggiri, landok dan bayan memenuhi tong ais mereka yang memberikan harapan tidak akan pulang dengan tangan kosong.

Pada sebelah malam, tekong Mat membawa kumpulan ini memancing sotong torak yang dikatakan mula memasuki perairan Terengganu untuk bertelur.

Berbekalkan candat sotong berwarna merah dan hijau dibawa mereka, kumpulan ini berjaya memancing hampir 8kg sotong torak walaupun hanya memancing kira-kira tiga jam ketika sotong galak membaham candat.

Apabila pagi menjelma kumpulan ini berangkat ke jeti Kemaman untuk beransur pulang ke Kuala Lumpur dengan membawa hasil yang cukup dibuat lauk untuk sekeluarga.

INFO:
  • Ebek/rambai/cermin atau nama komersial Diamond Trevally adalah spesies penghijrah yang boleh didapati sekitar Asia iaitu di pantai timur negara ini, Indonesia, Jepun, Australia dan China kawasan pantai hingga tengah laut.
  • Spesies bersifat pemangsa ini boleh dipancing sekitar laut kedalaman 20m (meter) hingga 100m di mana saiz juvenil bergerak dalam kumpulan manakala ikan dewasa bergerak secara solo.
  • Ciri-ciri ebek iaitu mempunyai bentuk badan empat segi memanjang. Badan berwarna putih perak serta kuning jernih dan berbintik kelabu di bahagian ekor badan.
  • Sirip dorsal atas, bawah dan tepi memanjang dan mempunyai ekor berbentuk ‘Y’.
  • Diet makanan spesies ini seperti ikan kecil, sotong, udang, kerang, dan obor-obor yang kebiasaannya terdapat di persisiran laut.
  • Cara memancing ikan ini menggunakan umpan anak ikan kembung atau udang hidup menggunakan kaedah apollo atau dasar. Ebek boleh juga dipancing menggunakan teknik mengunjun besi jig di sekitar unjam.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...