Alhamdullilah, Ramadhan telah sampai ke penghujungnya. Kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfiri kepada semua rakan-rakan saya, keluarga dan juga kepada semua pengunjung blog saya yang beragama islam. Jika terdapat salah dan silap, saya memohon maaf dan ampun dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Semoga di hari yang mulia ini kita akan saling bermaafan dan mengeratkan lagi hubungan sesama kita.
Kehadiran Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah sesungguhnya menjanjikan suatu limpahan nikmat yang besar dan harus disyukuri oleh umat Islam. Aidilfitri yang bermaksud Hari Raya Fitrah, Hari Raya kesucian manusia. Disebut juga sebagai hari kembalinya kesucian kepada kita. Kembalinya fitrah kepada kita dan kita pun harus tampil sebagai manusia suci dan baik, sebaik-baiknya kepada sesama manusia.
Aidilfitri itu juga disebut sebagai suatu nikmat perundangan Ilahi. Suatu nikmat besar yang menjadi asas kepada ciri-ciri pembinaan kemanusiaan dan sifat bersatu padu. Malah ia merangkumi asas yang satu iaitu kemurnian rohani, kebenaran dan keadilan, ilmu dan kebijaksanaan serta kebahagiaan dunia dan akhirat.
Hari Raya Fitrah adalah hari kemerdekaan iaitu hari pertama selepas Ramadan di mana orang-orang beriman memperoleh kembali kebebasan diri dan kembali menikmati limpahan rezeki Ilahi selepas sebulan menyerahkan jiwa raga mereka kepada Allah. Ia adalah hari kegembiraan kerana dapat melaksanakan kewajipan dan berkeyakinan memperoleh pahala yang besar di sisi Allah.
Aidilfitri juga puncak kemenangan manusia dalam pertentangan antara akal dan nafsunya, kerana puasa adalah keupayaan manusia untuk menundukkan dorongan nafsu yang sentiasa cenderung kepada pelanggaran ajaran Islam.
Berhari raya juga bererti kembali kepada jati diri manusia sebagai hamba Allah, kepada fitrah kejadian manusia. Di alam azali lagi iaitu sebelum wujud sebagai manusia, kita telah mengakui keesaan Allah s.w.t. dan berjanji untuk mentaati perintahnya.
Demikian Aidilfitri sebagai hari pertama umat Islam pulang dari pengembaraan kerohanian setelah sebulan berpuasa dalam bulan Ramadan. Dalam pengembaraan itu, mereka telah meningglkan semua perkara yang digemari kerana Allah dan membentuk dalam dirinya satu perasaan yang sentiasa memerhati dan menjadikan hati dan iman mereka pengawal yang sentiasa menjaga tingkah laku mereka.
Kemunculan Aidilfitri ini mengakhiri satu perjalanan kerohanian yang memerlukan kesabaran dan limpah rahmat dari Allah dan di sinilah bermulanya perjalanan baru yang menggabungkan roh dan jasad yang perlu dikekalkan sebagai persiapan untuk melaksanakan perjalanan mengerjakan haji kelak.
Selamat Hari Raya Aidilfitri dari Maxxpeacock- Akasah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan