Isnin, 19 Ogos 2013

Nemo: Liar-Liar & Kumpau Edition


Pastinya apabila membaca majalah dan blog-blog memancing, banyak cerita kejayaan pemancing menaikkan ikan yang diidam-idamkan. Perkara seperti ini pasti menjadi kebanggaan dan buah mulut pemancing-pemancing lain. Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman "kumpau" yang jarang-jarang kedengaran di majalah mahupun di blog-blog. Saya berharap pengkongsian ini dapat memberi mafaat kepada pemancing lain.

Walaupun berpengalaman luas dalam dunia pancingan, kadang kala kita tidak dapat mengelak daripada gagal dalam sesuatu trip. Istilah ini lebih dikenali sebagai gelaran "kumpau" di Malaysia. Begitulah lumrah yang sering berlaku ketika memancing. Walaupun kita mempunyai set memancing yang boleh diketegorikan sebagai 5 bintang serta pengalaman serta teknik memancing yang betul. Kegagalan seperti ini tetap boleh berlaku. Inilah yang telah berlaku pada kami semasa memancing di Kuching, Sarawak.

Seperti sedia maklum, saya sendiri sudah beberapa kali telah memancing di perairan Kuching. Perairan Kuching amat terkenal dengan hasil ikan Merah (Red Snapper) & Ikan tenggiri yang banyak. Bulan March hingga August merupakan waktu terbaik untuk memancing di sekitar perairan Kuching, Sarawak.

Setelah memilih hari yang sesuai, kumpulan kami bersetuju untuk menyewa sebuah bot yang amat terkenal pada ketika dulu iaitu Bot Nemo. Bot Nemo yang dikemudikan oleh Tekong Ah Ha amat terkenal dengan hasil yang sangat memuaskan menyebabkan kami memilih bot Nemo untuk ekpedisi kali ini.

Selepas semua telah bersedia, kami terbang ke Sarawak untuk memancing. Berkat pengalaman kami yang telah memancing di Kuching beberapa kali menyakinkan kami bahawa trips kali ini pasti akan berjaya. Seperti kunjungan kami ke Kuching sebelum ini, PALOH menjadi destinasi lubuk pilihan kami. Kunjungan kami ke PALOH tidak pernah menghampakkan kami.

Selepas kami mendarat dengan selamat di lapangan terbang Kuching, kami bergerak ke jeti Sentubung untuk menaiki bot. Bot Nemo memang terkenal dengan kemudahan memancing yang selesa lengkap dengan tempat tidur yang berhawa dingin. Sikap peramah tekong Ah Ha kepada pemancing memang menjadi pujian ramai.


NEMO dahulu & NEMO Sekarang

"Disangka panas sampai kepetang, rupanya hujan di tengah jalan". Itulah peribahasa yang amat sesuai saya tujui pada bot Nemo. Ketibaan kami di jeti amat mengejutkan kami dengan berita yang kurang senang. Rupa-rupanya bot Nemo kini sudah bertukar tuan. Owner sebelum ini telah menjual bot ini kepada owner baru. Memandangkan kami telah tiba, perjalanan kami tetap diteruskan. Selepas semua kelengkapan dibawa naik, bot terus bergerak menuju ke lubuk yang di janjikan itu PALOH.

Sepanjang perjalanan, kami berasa hairan kerana bot ini tidak dikemudikan oleh Ah Ha seperti biasa sebaliknya dikemudikan terus oleh owner baru bot ini. Saya kurang pasti dans eingat-ingat saya nama owner baru bot tersebut ialah Ah Foi, beberapa bulan yang lepas, semasa kunjungan rakan-rakan saya dengan bot Nemo, bot ini masih dikendalikan oleh tekong Ah Ha lagi. Tetapi semasa kunjungan kami kali ini tekong Ah Ha lebih berperanan sebagai pembantu bot atau awak-awak sahaja. Kami berpendapat mungkin owner baru ini mengambil tempat sementara untuk membantu tekong Ah Ha mengemudi bot ini. Memandangkan perjalanan ke PALOH akan mengambil masa sekurang-kurangnya 8 jam, kami mengambil kesempatan untuk berehat dan tidur.

Malam Pertama

Sedar tidak sedar, kami sudah berjalan selama 4 jam, keadaan di luar pun kelihatan sudah gelap. Owner baru yang mengemudi bot ini menurunkan sauh ditempat yang kami kurang pasti, Tanpa bercakap apa-apa, owner baru ini terus masuk tidur dan membiarkan kami terpinga-pinga samada kita berhenti seketika sebelum sampai PALOH ataupun berhenti rehat. Ah Ha menjadi pembantu bot pun tidak pasti dengan keputusan tekong baru ini yang selaku owner baru bot ini. Memandangkan hampir 1/2 jam kami tidak mendapat jawapan, kami terus melabukan umpan untuk memancing. Ternyata tiada apa hasil yang memuaskan pada malam pertama. Jangankan ikan besar, ikan kecil pun tiada yang sudi menjamah umpan. Kami memang pasti tiada apa-apa ditempat kami memancing. Tekong baru ini lebih senang untuk tidur hingga ke pagi. Nasib baik kami, kerana 2 ekor ikan tenggiri sesat sudi memakan unpan selepas semalaman kami memancing pada malam pertama.


Hanya 2 ekor tenggiri pada malam pertama

Hari Ke-2

Seperti waktu-waktu siang di perairan Kuching, waktu begini banyak dihabiskan dengan memancing di kawasan lubang untuk mencari ikan Merah atau pun kerapu. Tetapi memandangkan kami belum tiba di PALOH, semua harapan memancing ikan merah menjadi sia-sia.

Kelihatan bot berpusing-pusing tanpa arah. Saya juga beberapa kali pergi di kawasan kemudi untuk bertanyakan status trip ini. Tekong baru ini lebih banyak mendiamkan diri apabila ditanya dan memberitahu kami bahawa kami akan memancing sebentar lagi. Sepanjang pukul 8am - 6 pm. Bot kelihatan seperti tidak tentu arah. Dalam tempoh 10 jam ini kami hanya singgah 3 lubuk dan tiada apa-apa hasil langsung. Yang paling saya hairan, tekong baru ini seperti buat hal sendiri dan tiada komunikasi langsung pada pemancing. Apabila malam menjelma, bot ini pun berlabuh. Tekong memberitahu kami, bahawa kami telah tiba di PALOH. Kedengaran amat melegakan kerana tempat yang menjadi sasaran telah sampai. Aktiviti malam biasanya digunakan untuk memancing ikan tenggiri mengunakan jig ataupun umpan. Pada malam kedua ini, pelbagai teknik yang kami gunakan untuk menjerat ikan tenggiri tetapi kami gagal menaikan seekor pun ikan tenggiri ini. Kami berubah teknik kepada teknik dasar untuk mencuba-cuba kawasan dasar tempat bot berlabuh. Selepas beberapa lama menunggu, Terdapat ragutan daripada ikan pada set pancingan rakan saya. Ikan Merah suman (Japanese Red) saiz 2kg berjaya didaratkan. Kemudian beberapa ekor lagi ikan Merah Suman berjaya dinaikkan. Kejayaan kami memancing 2 ekor ikan Merah suman amat mengujakan owner bot ini. Dengan pantas GPS dikunci di kawasan kami berhenti. Ini jelas menunjukkan tekong baru ini tiada lubuk atau spot memancing. 


Dalam 2.00 am tiada ikan yang sudi memakan umpan. Hanya ikan kunyit dan karang sebesar 3 jari yang melayan kami menggunakan mata appollo bersaiz kecil. Tanda-tanda kami kumpau sudah terbayang di kepala setiap ahli. Kami secara senyap-senyap memanggil Ah Ha untuk mengetahui perkara sebenar.

Setelah dipujuk, akhirnya Ah Ha membuka cerita. Sejak bot Nemo bertukar tuan, perlbagai perubahan drastik yang dilakukan oleh owner baru ini. Tekong Ah Ha yang bertanggungjawap mengemudikan bot Nemo sebelum ini diturunkan pangkat menjadi pembantu bot ataupun awak-awak. Lokasi lubuk terbaik milik owner lama tidak diserahkan sepenuhnya kepada owner baru ini. Ini bermakna bot Nemo kini tiada lubuk atau spot untuk memancing. Hanya yang tinggal ialah lubuk dan spot yang kosong sahaja. Selain itu sikap owner baru selaku tekong kini yang sombong mengeruhkan keadaan. Pengalaman tekong Ah Ha mengemudikan bot berpuluh tahun tidak ditagih langsung oleh tekong baru ini. Ah Ha dan tekong baru ini kerap bertengkar kerana perbezaan pendapat. Ah Ha sering mengingatkan tekong baru ini untuk memberi service yang baik kepada pemancing. Sekurang-kurangnya berbual dan berbincang dengan pemancing. Tetapi tetap tidak diendahkan oleh tekong baru ini. Menurut Ah Ha, tekong baru ini tidak mempunyai pengalaman luas dalam mengemudi bot. Ini jelas kami lihat dengan cara tekong ini berlabuh di spot memancing. Tekong ini akan membuat parking sesuka hati sahaja jauh dari lubuk atau spot yang terdapat di dalam GPS. Ah Ha juga sudah bercadang untuk berhenti berkhimat di bot Nemo ini.

Selepas berbual-bual dengan Ah Ha, kami tetap meneruskan memancing walaupun kecewa mendengar khabar yang mengejutkan dari Ah Ha.  Saya lebih tertumpu untuk melakukan aktiviti jigging di belakang bot. Selepas lebih sejam jigging, saya berjaya memperolehi seekor ikan tongkol menggunakan jig. Rakan saya Halim Hussin juga berjaya memperolehi seekor ikan tongkol. Sekurang-kurangnya ada juga seekor dua ikan yang boleh dilayan sepanjang trips ini.



Aktiviti kami terhenti apabila satu bunyi yang kuat berlaku betul-betul di belakang kami. Asap hitam keluar dengan banyak. Keaadaan menjadi panik sebentar kerana takut berlaku kebakaran. Rupa-rupanya generator telah rosak dengan teruk kerana overheating. Kerosakan ini menyebabkan bot menjadi gelap gelita. Ruangan bilik juga menjadi panas seperti sauna kerana aircond tidak berfungsi. Kami terpaksa lalui keadaan ini sehingga waktu pagi.

Hari ke 3

Memandangkan tekong tidak mempunyai lubuk, tidak berpengalaman, sombong dan generator yang rosak. Kami rasakan seperti melalui malam yang sangat panjang. Hanya beberapa ekor ikan sahaja yang diperolehi. Rakan kami, Elly berjaya memperolehi seekor kerapu 6kg pada waktu subuh. Memandangkan kami sudah hilang semangat, kami mencadangkan kepada tekong supaya bergerak pulang. Tekong bersetuju untuk pulang memandangkan bot Nemo dalam keadaan kurang memuaskan.

Perjalanan pulang kami dikejutkan lagi perkara yang sepatutnya. Tidak sampai 2 jam bergerak pulang, gunung Sentubung sudah kelihatan. Barulah kami sedar, selama ini kami telah ditipu. Sepanjang kami ke PALOH sebelum ini, amat mustahil untuk lihat Gunung Sentubung kerana lokasi lubuk PALOH sangat jauh daripada darat. Patutlah segenap umpan yang diturunkan tidak dilayan. Ini kerana kami tidak sampai langsung di PALOH. Apa yang menyakitkan hati, kami telah membuat bayaran bot untuk ke PALOH. Pastinya bayarannya lebih mahal kerana lokasi PALOH yang jauh. Tetapi rupa-rupanya kami memancing sekitar 3-4 jam dari darat. Kekecewaan jelas kerana ditipu. Kami hanya mampu berdiam diri supaya keadaan tidak menjadi keruh. Seperti di jangka, pukul 10.00am kami tiba di jeti. Trips sepatutnya 4 hari 3 malam menjadi 2 hari 2 malam. Setibanya di jeti, tekong ataupun owner menghilang seperti mengelak diri dari kami. Rupa-rupanya dia tidak mahu memulangkan semula baki wang trips yang telah kami bayar untuk trips 4 hari 3 malam.

Hasil yang kami perolehi hanya 2 ekor tenggiri (4kg & 5 kg) , 4 ekor Merah Suman (size 2kg), Kerapu (6kg), Ikan Tambak 1 ekor (3kg) dan ikan tongkol 3 ekor. Selain itu ikan kerapu saiz 800 gram 6 ekor hasil menggunakan appollo dan ikan-ikan karang lain. Memandangkan ikan yang diperolehi sangat sedikit, kami bercadang untuk menjualkannya kepada kenalan Ah Ha yang menguruskan restoran makanan laut di Kuching. Tanpa diduga, tidak sempat Ah Ha menghantar ikan tersebut pada kenalan beliau. Owner baru telah mengarahkan Ah Ha supaya semua ikan ini dijual kepadanya. Ah Ha yang makan gaji terpaksa akur dengan arahan tuannya. Kesemua ikan ini dibayar dengan harga RM50.00 sahaja kepada kami. Organizer trips ini hanya mampu terdiam menerima wang yang tidak berpatutan dengan harga ikan dipasaran. Kami hanya mampu diam dan pulang ke hotel dengan keadaan sangat marah dan kecewa. Perbagai kejadian yang berlaku sepanjang trips kali ini bersama Nemo. Keesokan harinya, Ah Ha awal-awal pagi telah berada di pintu utama hotel kami semata-mata untuk meminta maaf tentang kejadian yang kami lalui dengan bot Nemo. Kami juga bersetuju untuk black list bot Nemo ini sampai bila-bila. Ah Ha juga berjanji untuk membawa kami menaiki bot kenalan beliau yang berkali ganda lebih baik dari bot Nemo pada kunjungan akan datang. Dan yang paling saya hargai, Ah Ha hadir untuk memohon maaf tanpa pengetahuan owner barunya. Bagi menebus rasa malu, Ah Ha membawa kami berkunjung di tempat menarik sekitar bandar Kuching. Hendak harap owner barunya....Entahlah..!!

Nasihat saya ialah, apabila kita gagal dalam trips memancing yang berpunca dari kurang pengalaman. kegagalan itulah yang akan menjadi pengalaman berharga untuk kita. kita mesti bersikap Lesson to Learn. Jika kita gagal dalam trips kerana masalah cuaca, syukurlah kerana kita berjaya pulang dengan selamat. Jika kita gagal kerana kelemahan kelengkapan, Allah pasti membuka rezeki kita untuk memiliki kelengkapan yang betul pada satu hari. Dan jika kita gagal sesuatu trips kerana kelemahan Tekong, kita hanya perlu black list tekong tersebut sampai bila-bila supaya kejadian seperti ini tidak berlaku lagi kepada kita.

Semoga coretan saya kali ini menjadi petunjuk dan rujukan kepada pemancing lain terutama yang pertama kali untuk memancing di Kuching. Banyak lagi bot yang mampu memberi servis yang lebih baik berbanding bot Nemo ini seperti bot Ah Beng ataupun Bot Yoko. Bagi yang tidak bersetuju dengan komen saya mengenai bot Nemo. Anda amat bertuah kerana owner bot selaku tekong bot Nemo sudi melayan anda dengan baik sekali. Apa pun, banyak kedengaran suara-suara tidak puas hati dari pemancing lain selepas menaiki bot Nemo. Pesanan saya untuk Nemo, perbaikilah service dan owner yang tidak berpengalaman tidak layak untuk mengemudi bot. Jika perkara ini tidak diperbaiki, saya percaya bot Nemo akan tutup kedai akibat tiada pemancing yang sudi menyewa bot ini.

1 ulasan:

  1. aduhh.. trip macam ni la yang kadang2 buat orang tak nak mancing lagi jauh jauh... huhuuh

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...