Ahad, 11 Disember 2011

Dewan Kegemilangan - 8

Syukur dan ribuan terima kasih kepada wartawan sisipan Joran dari akhbar Berita Harian kerana sudi menerbitkan laporan trips kami ketika di Pulau Mapur, Indonesia. Walaupun terdapat typo error pada perkataan Team D7L kepada 7DL, saya rasa itu bukan masalah besar memandangkan team D7L ini memang dikenali di kalangan otai-otai memancing. di negara kita. Di sini saya sertakan laporan penuh artikal ini yang saya petik dari laman web akhbar Berita Harian dated 10 Dec 11 di http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PestaJemudukdiMapur/Article/index

Pesta Jemuduk di Mapur
Oleh Zulhilmi Hat
hilmi@bharian.com.my
2011/12/10
 

 

Geng 7DL puas bertarung tawan spesies ikan di pulau Indonesia

PERAIRAN Pulau Mapur, Indonesia yang sememangnya terkenal sebagai destinasi pelancongan antarabangsa adalah lokasi patut dikunjungi pencinta hidupan akuatik selain menikmati keindahan panoramanya yang terhampar seluas mata memandang.
Begitupun, bagi pemancing tegar, kunjungan ke sana sambil memancing tentunya satu kemestian berikutan khazanah perairan itu yang kaya dengan ratusan jenis ikan gred ‘A’.
Atas faktor itulah mendorong Geng Tujuh Dewa Laut (7DL) mengatur trip ke Mapur baru-baru ini semata-mata mahu menikmati pengalaman memburu jemuduk bintik (Carangoides fulvoguttatus ) atau nama tempatannya bulat rintik yang dikatakan mempunyai daya juang tinggi dan mampu mengalahkan kudrat spesies seangkatannya iaitu Giant Travelly (GT).

Memulakan perjalanan, geng 7DL seramai 13 pemancing diketuai Akashah bergerak dari Jeti Antarabangsa Stulang, Johor Bahru dengan menaiki feri menuju Tanjung Pinang, Indonesia. Perjalanan itu memakan masa kira-kira tiga jam.

Perjalanan dari Tanjung Pinang diteruskan ke rumah rehat di Tekora Beach iaitu lokasi geng 7DL bermalam sebelum bertolak ke lubuk pancing keesokannya.

Setibanya di situ, mereka disambut pengusaha bot Sea Star yang dikenali Wak Elly yang menyediakan van sesuai dan pakej penginapan tiga hari dua malam buat geng berkenaan.
“Bot Sea Star dipandu Abang Am bertolak ke Pulau Mapur memakan masa kira-kira lapan jam.

“Perjalanan dengan bot ini boleh dikatakan selesa kerana mempunyai kemudahan seperti hotel empat bintang dan paling penting tidak membosankan," kata Akasha.

Sejurus tiba di lubuk pertama pada lewat petang, Abang Am menyuruh 13 sekawan menurunkan joran berisikan umpan sotong mati untuk menduga jemuduk bintik yang berjaya dikesan dengan sonar memaparkan kumpulan ikan sedang berlegar di bawah laut sedalam 40 meter itu.

Belumpun batu ladung saiz 12 sempat mencecah dasar laut, joran milik Akashah berskala PE 4-6 terus menerima sentapan pertamanya dari mangsa yang berlegar di lubuk itu. Kekili Shimano Stella 8000 milik beliau mula memuntahkan tali apabila mangsa semakin rakus membenamkan diri dasar tanpa memberi peluang beliau menggarau talinya semula.

Melihatkan keadaan genting ini, Akashah hanya membiarkan mangsa melarikan diri dan bertindak hanya melaraskan sistem kekili agar muatan tali utama 200 meter tidak habis dari gelendung Shimano miliknya.

Aksi tarik-menarik berlaku hampir 15 minit apabila jemuduk bintik berskala 8 kilogram (kg) dikesan mula lemah dan berenang perlahan-lahan hingga Akashah membawanya ke atas bot.

Sejurus itu, giliran Azman, Suhaimi dan Halim turut menerima asakan serentak. Joran milik mereka melengkung ‘U’ apabila menerima asakan dahsyat dipercayai daripada spesis sama.

Gelagat rakan yang kepenatan menjadi lucu apabila ada yang membantu mencurahkan air untuk menyejukkan kekili dan ada pula memegang pinggang rakan sebagai tanda sokongan melawan mangsa ganas di bawah air.

Selang beberapa minit akhirnya tiga jemuduk bintik berskala 6kg hingga 8kg berjaya didaratkan dan memaksa mereka berehat tekong Abang Am membawa mereka ke lokasi seterusnya untuk mencari spesis ikan bermisai atau ikan jahan dikalangan nelayan Indonesia. Di Malaysia ikan ini dikenali sebagai mayong.

Sekali lagi, geng 7DL diserang kumpulan jahan yang dipercayai sedang kelaparan sekali gus mencetus pelbagai reaksi lucu berlaku apabila ada kekili yang terus terjun, joran patah dan tali perambut 80lb putus diasak ikan berskala 5kg yang begitu kemaruk dengan umpan yang dihulurkan.

Malam itu mereka berpesta memancing sehingga 40 ekor jahan hingga awal pagi dan sekali gus menyaksikan kumpulan ini tertidur dengan lena hingga tengahari.

Trip terakhir pada siangnya kurang menjadi apabila tiada kelibat ikan sudi menjamah umpan kecuali beberapa ekor ikan karang seperti kerapu dan merah bersaiz sekilogram berjaya didaratkan.

Namun sekali lagi tekong Abang mencuba di lubuk rahsianya sambil seekor pari berskala 10kg dinaikkan Saiful menandakan trip memancing penutup tirai 2011 berjaya disempurnakan dengan cemerlang.

 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...