Isnin, 16 Februari 2015

Maxx Peacock Fish Encyclopedia – Kenali Ikan Pendatang yang mendiami Malaysia


Gambar di atas ialah jenis-jenis ikan yang telah di wartakan oleh kerajaan Malaysia sebagai ikan larangan. Kehadiran ikan ini dipercayai akan menyebabkan populusi ikan tempatan mengalami kepupusan dan kerosakan eco-sistem  perairan negara ini. Tetapi realitinya senarai ikan-ikan ini yang di senaraikan di atas boleh dilupakan kerana seperti diketahui ramai, kerajaan Malaysia lebih mementingkan income dan kepentingan ekonomi negara dari menjaga eco-sistem perairan negara kerana pada hari ini lebih 75% ikan-ikan yang dianggap prohibited ini telah di bawa masuk ke negara Malaysia dengan kebenaran atau permit yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia sendiri kepada peniaga-peniaga berkaitan. Saya ingin mengupas sedikit tentang ikan-ikan pendatang yang kini bermaharajalela dengan aman dan tenang di negara Malaysia malah dengan kehadirannya yang banyak telah menyebabkan segelintir masyarakat menganggapnya sebagai ikan tempatan.

Talapia


Ikan Talapia dari keluarga Cichlid ini berasal dari Negara Afrika. Pada mulanya ikan ini dianggap sebagai makanan atau hidangan petani miskin di Afrika. Ikan ini diperkenalkan kepada dunia oleh zoologist dari Scotland iaitu Andrew Smith pada tahun 1840 sebagai sumber ikan alternatif untuk dijadikan hidangan makanan terutamanya di Europa dan Asia. Ikan ini amat mudah menadaptasikan diri di habitat baru, amat mudah membiak dan cepat membesar menyebabkan ikan ini mudah diternak. Selain itu ikan ni yang dikenali sebagai Talapia di seluruh dunia kini menjadi ikan air tawar ke-3 terpenting sebagai penyumbang protein selain spesis Karp dan Salmon. Selain diternak secara besar-besaran, di sentengah-tengah negara  ikan ini di anggap sebagai penyumbang kawalan biologi dengan pemakan rumpai-rumpai perosak ataupun alga perosak dan pemakan larva nyamuk untuk mengawal Aedes dan Malaria di tasik mahupun di kolam. Ikan yang bersifat omivor ini amat mudah ditemui dipelusuk negara kita. Terdapat dua jenis ikan tilapia yang diketahui bermastautin di negara kita iaitu Ikan Talapia Merah Dan Ikan Talapia Hitam. Boleh dikatakan, ikan ini pasti terdapat di setiap restoran sebagai pilihan lauk-pauk.

Patin Mekong(Mekong Catfish)


Ikan ini telah mencetuskan fenomena di kalangan kaki kolam pancing. Ikan patin ini berasal dari Sungai Mekong telah di bawa masuk ke kolam-kolam komersial secara besar-besaran. Ikan Patin Mekong mempunyai daya juang yang tinggi serta memiliki tubuh badan yang tegap membuatkannya ikan ini wajib di layan oleh kaki pancing. Ikan yang amat mudah membesar hingga puluhan dan ratusan kilo pasti menjadi sasaran kaki pancing. Di negara kita ikan ini dianggap sebagai pejuang hebat di kolam-kolam pancing komersial, tetapi di negara asal ikan ini di Thailand, Laos dan Vietnam, ikan ini sedang mengalami proses kepupusan kerana sering diburu untuk dijadikan hidangan makanan. Kerana itu di negara Thailand ikan ini diharamkan tangkapannya kecuali memancing dengan konsep Tangkap dan Lepas di beberapa Sungai di sana. Kerajaan Thailand dan Laos juga giat membuat kajian dan membiakan spesis ikan ini supaya tidak mengalami kepupusan. Berbeza dengan negara kita, penduduknya lebih gemar menikmati ikan patin tempatan yang lebih kecil dan lebih lazat isinya sebagai hidangan makanan. Walaupun banyak kehadiran ikan ini hampir diseluruh kolam pancing di negara kita, sedikit pun ia tidak menjejaskan harga ikan patin tempatan terutamanya ikan patin buah yang bernilai tinggi. Selain ikan patin Mekong, sepupunya yang berasal dari Thailand dan Vietnam juga di bawa masuk. Ikan tersebut dikenali sebagai ikan Patin Choa Praya yang berasal dari Sungai Choa Praya.


Peacock Bass


Siapa yang tidak kenal dengan Peacock Bass atau dikenali sebagai ikan raja di sini. Ikan ini berasal dari Sungai Amazon yang terletak di benua Amerika Selatan. Mulanya ikan ini dibawa masuk ke negara kita sebagai ikan perhiasan di aquarium sahaja. Malangnya ikan yang bersifat Karnivor mempunyai selera amat tinggi ini serta mudah membesar dan menyukarkan pemilik ikan ini untuk membelanya di aquarium. Oleh kerana itu ikan ini banyak dilepaskan di lombong atau tasik-tasik yang terdapat di negara kita. Ikan ini diketahui amat mudah mengadaptasikan dirinya di habitat-habitat baru. Ikan ini juga amat cepat membiak dan membesar. Kerana faktor tersebut dengan cepat populasi ikan ini tersebar di serata negara kita terutamanya di negeri Perak. Walupun ikan ini dianggap sebagai perosak ekologi populusi ikan tempatan, ikan ini telah menyumbang peningkatan dalam industri memancing. Ikan ini telah mencetuskan fenomena kepada kaki casting atau mengilat kerana sikapnya yang gemar mengejar gewang. Dengan peningkatan peminat casting atau mengilat ini, semakin banyak produk-produk mengilat dan lure telah dibawa masuk di kedai-kedai alatan memancing pada hari ini. Kehadiran ikan ini juga telah menarik lebih ramai pemancing untuk mencuba kaedah flyfishing.

Tongsan Sisik Halus


Tongsan sisik halus atau Asian Bighead Carp merupakan ikan yang berasal dari India, Pakistan dan Bangladesh. Ikan Tongan sisik halus mempunyai kepala yang bersaiz besar. Ikan ini memakan zooplankton dan alga. Ikan ini merupakan diet utama penduduk – penduduk di negara asalnya. Tetapi kehadiran ikan ini di negara kita sebagai penghibur kaki pancing di kolam-kolam komersial. Ikan ini tidak banyak dibela kerana mempunyai nilai komersial yang sangat rendah. Kerana lambakan ikan ini di kolam pancing, kini ikan ini mula tersebar di tasik dan sungai-sungai di serata semenanjung Malaysia. Tidak ramai penduduk di sini yang sanggup memakan ikan ini kerana sifatnya yang hanyir dan sukar diuruskan. Hanya segelintir masyarakat yang tahu menguruskan ikan Tongsan dan memakan ikan ini. Ikan ini amat mudah membiak mempunyai sikap rakus dalam pemakanannya. Ikan ini yang gemar hidup berkumpulan seakan-akan vacuum bergerak di dasar air menyedut segala anak-anak dan telur-telur ikan lain. Kedatangan ikan Tongsan ini di persekitaran terbuka negara kita amat membimbangkan supaya tidak berlaku tragedi seperti di sungai dan tasik disekitar Timur negara Amerika dengan lambakkan spesis ikan ini iaitu Asian Sliver Bighead Carp sepupu kepada ikan Tongsan yang mendiami perairan negara kita. Walupun ikan tersebut ditangkap dan dibunuh secara besar-besaran, masalah tersebut tetap tidak dapat diselesaikan kerana ikan ini mampu membiak dengan terlalu pantas. Mujur kedatangan pendatang asing dari benua India, Bangladesh  dan Pakistan yang banyak berkerja di negara kita membuatkan mereka menjadi pelanggan tetap untuk membeli ikan tongsan ini pasar-pasar yang merupakan ikan tempatan mereka. Harganya yang murah dan bersaiz besar memberi kelebihan kepada mereka yang berbudget kecil untuk di jadikan hidangan makan tengahari ataupun malam.


Pacu


Ikan Pacu Colossoma bidens, adalah saudara dekat kepada ikan piranha. Berlawanan dengan piranha, ia tidak memiliki gigi yang tajam dan biasanya tidak agresif. Pacu memiliki perut berwarna merah dan memiliki bentuk gigi yang bersegi empat dan lurus menyerupai gigi manusia. Gigi ini digunakan untuk memotong sayur-sayuran yang hidup di dalam air dan kekacang yang jatuh dari pokok. Meskipun, rupanya yang menyerupai piranha, Pacu tidak memakan daging, dan diet semulajadinya lebih kepada kekacang, buah-buahan dan tumbuhan. 

Kehadiran ikan ini negara kita sebagai ikan hiasan dan untuk kolam-kolam komersial yang terdapat di negara kita. Ikan ini mempunyai bentuk tubuk yang leper dan lebar seakan-akan ikan Bawal. Ikan ini mempunyai daya juang yang padu menjadi factor utama kehadiran ikan ini di kolam-kolam komersial.
Ikan ini berasal dari Sungai Amazon di benua selatan Amerika. Di sana ikan ini lebih dikenali sebagai ikan Pakku. Ikan ini mempunyai kekuatan rahang yang kuat untuk menghacurkan kekacang yang menjadi diet ikan ini. Memancing ikan ini tidak sukar dengan teknik perambut yang betul, pemancing mampu mendaratkannya. Selain itu ikan ini juga boleh menjadi hidangan yang lazat. 

Arapaima


Siapa yang tidak megenali ikan Arapaima Gigas ini. Antara ikan air tawar terbesar di dunia. Ikan ini berasal dari Amarika Selatan dan banyak mendiami sungai –sungai di sekitar Amazon.  Ikan yang mampu membesar sehingga 200 meter ini kini banyak terdapat di negara kita. Ini kerana ikan ini dikomersialkan sebagai ikan perhiasan. Walaupun ikan ini di anggap sebagai ikan perhiasan, jangan pula terkejut jika melihat sesetengah orang memakan ikan ini. Tidak perlu dihairankan kerana di tempat asalnya ikan ini sememangnya menjadii sumber protein yang penting kepada penduduk tempatan.  Mulanya ikan banyak dibeli oleh pengemar ikan hiasan, malangnya ikan tersebut amat cepat membesar dan bersifat agresif, pemilik ikan tersebut melepaskan ikan arapaimanya. Ikan ini amat bersikap rakus dan berselera besar ketika makan. Kehadiran ikan ini di perairan sungai dan tasik kita sangat membimbangkan. Kini acap kali kita melihat gambar-gambar pemancing tempatan berjaya menaikan ikan ini di habitat liar mengunakan umpan ikan hidup seperti anak keli dan ikan lampan.

Keli Afrika


Ikan keli merupakan ikan tempatan yang sangat diminati oleh masyarakat setempat. Tetapi kehadiran ikan keli yang berasal dari Afrika ini mempunyai saiz 5 kali ganda lebih besar dari ikan keli tempatan. Kedatangan ikan ini adalah kerana sebagai alternatif kepada ikan tempatan. 

Amazon Red Tail Cat Fish


Ikan ini mula memasuki kolam pancing sebagai penyeri buat kaki pancing yang inginkan perlawanan yang hebat. Ikan ini sangat cepat membesar hingga puluhan kilo. Selain kolam pancing, ikan ini juga dijual di kedai-kedai aquarium. Sering kali saya mendengar keluahan peminat aquarium kerana tidak tertahan dengan selera makan ikan yang berasal dari Amazon ini. Ikan yang bersifat karnivor ini amat pelahap memakan ikan-ikan bersaiz kecil sehingga pemiliknya terpaksa membuangnya ke perairan terbuka. Saiz yang yang cepat membersar juga menyukarkan pemiliknya.Di mana terdapat ikan ini, pasti ikan-ikan lain yang mendiami habitat yang sama akan menghadapi masalah kepupusan kerana sikap ikan ini yang makan tanpa mengira waktu.

Red Tail Cat Fish atau Baung Ekor Merah


Ikan ini kelihatan serupa dengan ikan baung di negara kita. Bezanya adalah ekor dan sirip ikan ini yang berwarna merah. Ikan ini berasal dari Sungai Mekong bersifat Karnivor. Ikan ini mulanya di bawa oleh industri kolam pancing.. Tetapi tidak diketahui mengapa, ikan ini kini boleh didapati di perairan terbuka.

Keluarga Cichlid 


Keluarga Cichlid ini mempunyai 160 genra dengan 2000 jenis spesis.  Ikan jenis keluarga Cichlid merupakan antara keluarga ikan air tawar yang terbesar di dunia. Kebanyakkan ikan dari keluarga Cichlid bersifat Kanivor dan Omivior. Ikan ini menjadikan anak-anak ikan dan alga sebagai makanan utamanya. Ikan ni sebenarnya berasal dari Amarika Tengah dan Selatan, Afrika dan beberapa negara lain di Asia. Ikan ini tersebar luas di seluruh dunia termasuk di negara kita sebagai ikan perhiasan untuk peminat Aquarium. Terdapat spesis ikan ini yang mempunyai tubuh badan yang bercorak warna warni menyebabkan pemintaan ikan ini di dalam insdustri aquarium sangat tinggi. Kehadiran banyak ikan ini menyebabkan ikan ini tersebar dan bermaharaja lela di tasik-tasik, sungai dan lombong di segenap negara kita. Ikan ini yang mempunyai daya tahan yang kuat serta mampu hidup di kawasan berair yang kurang kandungan oksigen telah menyebabkan penyebaran ikan ini tidak terkawal. Kehadiran ikan ini sebagai pemusnah ikan tempatan juga amat membimbangkan. Anak-anak ikan tempatan sentiasa menjadi santapan spesis ikan ini.  Flowerhorn, Oscar, Bumblebee cichlid, Peacock Bass, dan Temesis antara yang tergolong dalam keluarga Cichlid dalam variasi kecil hingga besaiz besar.

Rohu


Rohu or roho labeo (Labeo rohita,) memang tidak asing di negara kita. Asal usul ikan ini ialah dari wilayah India, Pakistan dan Bangladesh. Ikan ini mempunyai sifat pemakanan omivor. Ikan ini kurang 10 tahun lepas di bawa masuk ke negara kita sebagai makanan alternative mengantikan ikan air tawar tempatan. Ikan ini mempunyai badan yang tegap dan mempunyai isi yang banyak jelas mendapat permintaan yang tinggi dipasaran. Tidak hairanlah, ikan rohu kini boleh didapati di mana-mana pasar mahupun supermarket. Rohu amat sinonim dengan gelaran Kelah Lombong di kalangan pemancing kerana kehebatan daya juang ikan ini sangat mengujakan.

Aligator Gar


Ikan yang bermulut buaya ini amat terkenal dengan saiz tubuh yang besar. Walupun rupanya menakutkan, sebenarnya ikan ini bersifat pemalu dan amat sukar di pancing. Kerana kelebihan saiz ikan inilah mendorong pemilik kolam pancing membawanya masuk ikan unik ini yang berasal dar Amerika Utara. Beberapa kali kelihatan di dada akbar tentang penemuan ikan ini di perairan terbuka. Entah apakah nasib ikan-ikan tempatan yang dibanggakan oleh kita jika tinggal bersama ikan seperti ini.

Coming Soon -  Sturgeon





Sudah beberapa kali pihak media tempatan telah war-warkan tentang rancangan kerajan Malaysia untuk membawa masuk ikan Sturgeon di Sungai Kuala Tahan yang terletak berhampiran Taman Negara Pahang. Kononnya kehadiran ikan ini mampu menjana pendapatan berjuta-juta kepada mereka memandangkan harga Kaviar yang terlalu mahal di pasaran. Impian kerajaan ini juga amat tinggi nilainya apabila hutan ditebang semata-mata project ini berjaya direalisaikan. Entah mengapa keputusan ini dibuat tanpa kajian yang mendalam dari pihak tertentu. Malangnya lokasi Taman Negara Pahang yang kaya dengan ikan kebanggaan seperti Kelah Merah (Red Mahseer) dan ikan Termoleh(Jullien's Golden Carp) terpaksa bersaing dengan kehadiran ikan Stugeon yang akan di bawa masuk. Sudah pasti poket mereka yang berkenaan akan penuh melimpah ruah dengan kehadiran ikan Sturgeon ini, tetapi apakah generasi akan datang akan mengenali ikan-ikan tempatan yang tinggal di sepanjang sungai yang terdapat di Taman Negara. Malangnya selepas project ini mendapat pelbagai bantahan dari orang ramai terutamanya dari golongan pemancing dan penduduk tempatan, kerajaan tetap berniat untuk meneruskan project membawa masuk ikan ini.

Kesimpulan.

Senarai ini merupakan antara ikan-ikan yang telah menjajah di negara Malaysia. Ada lagi beberapa ikan pendatang yang tidak dapat saya kupaskan kali ini. Walupun begitu, kerajaan Malaysia amat melarang keras individu yang cuba mengimport atau membawa masuk ikan-ikan pendatang ke negara ini. Hukuman berat akan dikenakan kepada yang ingkar. Walupun begitu amaran tersebut hanya dibuat kepada individu yang tidak menguntungkan mereka. Jika mengguntungkan, pasti kerajaan akan membantu sedaya upaya supaya berjaya walaupun mereka melarang keras kemasukan ikan dari luar. Untuk sebarang aduan boleh menghubungi MOA atau seperti maklumat yang tertera di bawah.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...