Hairan dan terpinga-pinga saya apabila pulang ke kampung saya di Mersing, Johor baru-baru ini. Saudara mara terdekat terutamanya adik saya amat sibuk dengan aktiviti BENTO. Setiap petang mereka pasti mengambil kesempatan untuk BENTO. Apakah dia BENTO itu? Hairan dibuatnya apabila mendengar perkataan ini yang amat baru buat saya. Rupa-rupanya BENTO ini ialah istilah atau gelaran tempatan di kampung saya untuk bubu yang direka khas untuk menjerat Ketam Nipah - Scylla serrata ( mud crab or mangrove crab). Tidak pasti pula apa gelaran untuk bubu ini di tempat lain.
Apabila mendengar bubu menjerat Ketam, mula saya terbayang rancangan Deadliest Catch yang ditayangkan di Discovery Channel. Berdebar juga saya dibuatnya. Tetapi adik saya pantas memaklumkan kepada saya bahawa menjerat Ketam Nipah ini amat mudah sekali dan tidak merbahaya. Hanya perlu sedikit penyediaan dan menunggu sahaja untuk mendapatkan hasil.