Jumaat, 30 Disember 2011

7seas Black Rod - Jigging Rods




Semasa kunjungan saya ke Bangkok pada awal tahun 2011, saya sempat membeli sebatang blank rod berjanama 7seas. Harganya amat murah jika dibandingkan dengan kualiti yang ditawarkan. Sering kali saya mendengar desas desus tentang kehebatan rod berjenama ini. Memandangkan ketika kunjungan saya ke Bangkok tempoh hari, sempat juga saya singgah di salah satu kedai alatan memancing yang terkenal disana iaitu 7seas Pro Shop. Memandangkan budget waktu itu tidak mengizinkan, saya tidak berpeluang untuk membeli rod 7seas yang telah siap dengan harga 18,000 bath atau RM 1800.00. Untuk tidak mengewakan saya, owner kedai tersebut iaitu Joe, menawarkan salah satu rod blank dengan harga 3,500 Bath atau RM350.00 (harga selepas tawar menawar). Rod Blank jenama 7seas yang menjadi pilihan saya ketika itu ialah Blank Jigging Black Rod PE3-6. Saya berpendapat kekuatan rod ini sesuai dipadankan dengan spinning Stella 8000 saya.

Memandangkan terlalu sibuk dengan kerja & aktiviti memancing, atau yang lebih jelas ialah ketiadaan budget, saya tidak berkesempatan untuk menghantar blank tersebut untuk dijadikan rod yang lengkap. Cuma hanya baru-baru ini sahaja saya berkesempatan untuk menghantar blank rod ini. Orang yang bertanggung jawap untuk membuat rod ini saya serahkan kepada En. Darul yang tinggal di Selayang. Beliau amat terkenal dengan membuat rod custom dan mempunyai ketelitian yang amat bagus semasa membuat rod. Selepas beberapa minggu, akhirnya rod saya telah siap dan saya kongsikan hasil kerja En. Darul untuk tatapan pengunjung blog ini.

Rabu, 28 Disember 2011

Exotic Fishing Pond @Rawang


Kali ini saya telah berkunjung di sebuah kolam yang amat terkenal yang terletak di Rawang. Kolam yang hanya mengambil masa 45 min perjalanan dari rumah saya yang terletak di Shah Alam. Kolam Exotic Fishing Pond yang terletak di Rawang ini hanya baru 5 bulan sahaja beroperasi. Kolam ini amat istimewa bagi para pemancing kerana kolam ini telah memperkenalkan ikan exotic yang berasal dari Amazon seperti ikan Arapaima gigas, Pacu, Red Tail Cat Fish dan Alligator Gar. Selain itu ikan-ikan yang kini jarang-jarang diperolehi di negara Malaysia juga terdapat di sini seperti ikan Toman (giant snakehead), ikan Tapah (Walago attu) , Jelawat (Leptobarbus hoeveni) bersaiz lebih 5 kg, Tongsan (Big head carp) bersaiz lebih 10 kg, Temoleh (Probarbus jullieni) , Ikan Tenggalan (Puntioplites bulu) dan Red Masheer. Ikan Mekong Cat fish yang berasal dari sungai Mekong juga terdapat di sini. Kolam ini mengenakan caj masuk RM100.00 untuk memancing selama 4 jam.

Kunjungan saya kali ini disertai oleh Epol D7L, Yuhilmi dan Berg. Kami tiba di Kolam pancing ini seawal 7.30 am. Ikan di sini lebih aktif ketika awal pagi dan lewat petang. Exotic Fishing Pond ini yang mengamalkan Catch & Release dibuka 24 jam untuk memancing.

Jumaat, 16 Disember 2011

Resepi Selepas Memancing 1 - Ikan Masak Steam with Oyster Sauce


Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis aneka makanan yang berasaskan masakan steam. Masakan sedemikian amat baik untuk kesihatan kerana tiada kegunaan minyak masak. Ikan Masak Stim bersama Oyster sauce adalah salah satu masakan kegemaran keluarga saya lebih-lebih lagi apabila menggunakan ikan yang segar yang diperolehi selepas memancing ikan.

Ini kerana masakan bersama oyster sauce akan memelihara kemanisan rasa isi ikan segar yang dimasak. Kadang-kala penggunaan ramuan yang tidak sesuai akan menghilangkan rasa manis ikan segar yang dimasak. Cara membuatnya amat mudah dan boleh disediakan kurang setengah jam.

Ahad, 11 Disember 2011

Dewan Kegemilangan - 8

Syukur dan ribuan terima kasih kepada wartawan sisipan Joran dari akhbar Berita Harian kerana sudi menerbitkan laporan trips kami ketika di Pulau Mapur, Indonesia. Walaupun terdapat typo error pada perkataan Team D7L kepada 7DL, saya rasa itu bukan masalah besar memandangkan team D7L ini memang dikenali di kalangan otai-otai memancing. di negara kita. Di sini saya sertakan laporan penuh artikal ini yang saya petik dari laman web akhbar Berita Harian dated 10 Dec 11 di http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PestaJemudukdiMapur/Article/index

Jumaat, 9 Disember 2011

Umpan Patin

Resepi ini saya perolehi dari rakan saya dari Team COFA. Ingin saya kongsikan bersama kepada pengunjung blog ini. Keberkesanan umpan ini bergantung mengikut keadaan dan tempat. Seperti diketahui setiap ikan  kolam air tawar mempunyai perangai yang berbeza-beza. Lain tempat lain seleranya. Tapi bagi saya tak salah untuk  mencuba dan siapa tau umpan ini boleh menjadi salah satu umpan power pada para pengunjung blog ini.

Rabu, 7 Disember 2011

Ikan Patin


Ikan Patin atau nama saintifik Pangasius Sutchi & Pangasius hypophthmus adalah spesis ikan air tawar jenis meserba yang mendiami kawasan-kawasan sungai dan lombong-lombong.

Bentuk fizikal utamanya adalah mempunyai dua sengat di kiri kanan dan satu di belakang badan, tidak bersisik dan lembut. Saiznya boleh mencecah 1 meter panjang dan beratnya boleh menjangkau lebih 20kg.

Ikan patin mempunyai nilai komersial yang tinggi dan diternak di kolam-kolam dan di sangkar-sangkar.

Ikan patin merupakan ikan yang tidak memilih makanan di mana diet ikan ini ialah anak-anak ikan, buah-buahan sungai, udang dan bangkai binatang. 

Ikan patin yang mempunyai isi yang lazat dan lemak manis merupakan ikan kegemaran masyarakat   terutama di  Asia Tenggara. Ikan ini juga berada di sungai-sungai  di Eropah sebagai ikan pendatang.

Ahad, 4 Disember 2011

Info: Kesimpulan Trips 2011



December sudah menjelma menandakan bahawa tahun 2011 akan melabuhkan tirai dan tahun 2012 akan menyusul. Seperti tahun-tahun sebelum ini, tahun 2011 sentiasa padat dengan pelbagai aktiviti memancing. Perlu diketahui, senarai trips yang saya senaraikan itu ialah senarai trips yang boleh diketegorikan sebagai trips hardcore atau yang terutama. Ini tidak termasuk dengan aktiviti memancing di kolam, di sungai, di muara sungai dan di lombong yang sekadar untuk melepaskan gian memancing dan mengisi masa lapang. Boleh dikatakan setiap minggu ada saja jemputan dan rancangan memancing yang  telah dibuat dalam keadaan last minutes. 

Walaupun demikian, kedatangan bulan December ini bermakna aktiviti memancing saya untuk tahun 2011 juga akan menutup tirai. Pelbagai suka duka yang telah saya harungi pada tahun 2011 dan menjadi pengalaman berharga yang ingin saya kongsikan pada pengunjung blog ini supaya  menjadi  panduan .Di sini saya sertakan postmortem trips utama yang telah saya lalui sepanjang tahun 2011.

Isnin, 28 November 2011

Santai di One Fanthom Bank Lighthouse


Sejak kebelakangan ini saya terlalu sibuk dengan kerja-kerja di office saya. Kesibukan ini telah membataskan aktiviti memancing saya seketika. Memandangkan saya telalu sibuk dengan kerja yang menimbun, maka One Fanthom Bank yang terletak di Port Klang menjadi lokasi terbaik untuk saya merehatkan minda dan memancing di hujung minggu. Memandangkan lokasi OFB ini terletak berhampiran dengan Klang Valley, setiap jemputan saya kepada rakan-rakan yang lain terus disambut baik oleh mereka. Maka pada pada 19 - 18 November yang lepas, satu trips ke OFB light house telah diatur. Seramai 14 orang yang menyertai trip kali ini. Trips ini telah diatur oleh saya dengan bantuan rakan saya iaitu Man Cinonetdan Halim. Ini juga merupakan kunjungan saya kali ke-8 ke OFB.

Khamis, 17 November 2011

Rumah Api - OFB


One Fathom Bank Lighthouse (Rumah Api One Fathom Bank atau Rumah Api Permatang Sedepa) merujuk kepada dua rumah api luar pesisir di Selat Melaka, khususnya, pada beting dalam perairan Malaysia, yang digelar One Fathom Bank (Permatang Sedepa), off pantai negeri Selangor.

One Fathom Bank stesen asalnya terdiri daripada satu skru cerucuk rumah api yang telah digantikan dua kali sepanjang tempoh 147 tahun dalam perkhidmatan. Terdapat 2 rumah api di sana di mana rumah api yang kecil telah dirujuk sebagai "rumah api lama" dan yang lebih besar dikenali sebagai One Fathom Bank Lighthouse dan "baru" One Fathom Bank Lighthouse; lama One Fathom Bank Lighthouse dikekalkan tetapi kini tidak aktif.

Ahad, 30 Oktober 2011

Dewan Kegemilangan - 7


Dengan penuh kesyukuran, salah satu trips yang telah diuruskan oleh saya untuk memancing Layaran di Kuala Rompin bulan lepas telah menjadi salah satu tajuk utama di akhbar Berita Harian pada hari Sabtu (29 Oct 11). Ucapan terima kasih  dan beribu penghargaan kepada wartawan SISIPAN JORAN dari akhbar Berita Harian iaitu En Zulhilmi Hat kerana sudi menerbitkan artikal berkenaan trip ini. Di sini saya sertakan coretan laporan memancing yang ditulis oleh wartawan Berita Harian Zulhimi Hat yang saya copy dari http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Layaranterkulaididakapan/Article/index

Khamis, 20 Oktober 2011

Re-New License SailFish


Pertama kali saya berjaya memancing ikan Sailfish ialah pada tahun 2003, semasa itu saya mengikut rakan saya di Kuala Rompin untuk memancing secara santai. Kuala Rompin sangat berhampiran dengan kampung saya di Mersing, Johor. Perjalanan ke Rompin dari kampung saya hanya mengambil masa selama satu jam sahaja. Ketika itu saya yang sedang cuti semestar semasa belajar di UiTM. Waktu itu saya telah berjaya mendaratkan ikan Sailfish Kuala Rompin seberat 14kg dengan dibantu oleh rakan saya yang lebih old timer. Malangnya pada waktu itu kami tidak membawa sebarang camera untuk mengambil gambar. Oleh itu saya hanya mampu bercerita kejayaan saya tanpa ada bukti bergambar.

Setelah sekian lama, akhirnya peluang memancing Sailfish kembali lagi. Baru-baru ini saya berpeluang ke Kuala Rompin untuk memancing Sailfish. Kali ini saya bersama Airpool D7L, Geddo D'Ugat dan Hazrizal yang merupakan editior majalah umpan terbitan Karangkraff. Dengan kelengkapan yang sesuai kami bergerak dari Shah Alam ke Kuala Rompin.  Perjalanan mengambil masa kira-kira 4 jam untuk tiba di Kuala Rompin.
Di sana kami menyewa bot milik Nuries untuk memancing ikan Sailfish.

Isnin, 10 Oktober 2011

Malaysian SailFish


Sailfish adalah  spesis ikan dalam golongan Istiophorus genus, yang tinggal di lautan yang mempunyai keadaan cuaca lebih panas daripada semua lautan dunia. Mereka sebahagian besar berwarna biru kelabu dan mempunyai ciri-ciri erektil sirip dorsal  yang dikenali sebagai layar, yang sering membentang keseluruhan panjang belakang. Satu lagi ciri yang ketara ialah rang pada muncung ikan  yang memanjang, menyerupai ikan todak dan marlin lain. Oleh itu, Mereka digambarkan sebagai billfish dalam arena sukan memancing.

Sailfish mampu membesar dengan cepat dan mampu mencapai 1.2-1.5 meter panjang dalam masa satu tahun. Ikan ini gemar mencari makanan di permukaan atau di pertengahan laut mencari ikan umpan yang lebih kecil seperti ikan sardin, ikan kembung, ikan selar, ikan tamban dan sotong

Sailfish mampu berenang dan mencatatkan pada kelajuan sehingga 110 kilometer sejam (68 mph). Secara umumnya, sailfish tidak boleh membesar  lebih daripada 3 meter (9.8 kaki) panjang dan jarang berat ikan ini lebih daripada 90 kilogram (200 lb). Ini berbeza dengan saudara rapatnya iaitu ikan Marlin yang mampu membesar sehingga mencapai berat lebih 300 kilogram.

Ahad, 2 Oktober 2011

Singgah Ke Kolam Bedong


Kolam Bedong yang terletak di Sungai Petani sememangnya sudah dikenali oleh kaki pancing. Sudah beberapa kali laporan memancing di kolam ini yang mengamalkan  catch & release telah diperkatakan di forum memancing mahupun di majalah. Keasyikan memancing di sini sering menjadi buah mulut pemancing yang telah ke sini.

Beberapa minggu yang lepas, saya telah pulang ke kampung mertua saya di Kulim Kedah. Kesempatan beberapa hari di utara tanahair ini tidak saya sia-siakan. Walaupun sibuk dengan pelbagai urusan di kampung, saya sempat bertandang beberapa jam bersama ahli-ahli dari COFA team di Kolam Bedong yang terkenal ini. Di sini saya sertakan beberapa foto untuk dikongsi bersama ketika saya bertandang di Kolam Bedong

Ahad, 25 September 2011

Dewan Kegemilangan - 6

\ 
Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada En Hazrizal, Editor Majalah Umpan terbitan  oleh Karangkraff kerana sudi untuk menerbitkan artikal saya di Majalah Umpan October 11. Walaupun artikal ini hanya menceritakan pengalaman saya bersama rakan-rakan dari COFA ketika memancing di Fish Valley di Semenyih, pelbagai maklumat yang berkaitan  di ketengahkan oleh saya untuk dijadikan rujukan bersama. Saya juga ingin menyaran kepada semua pengunjung blog ini supaya tidak ketinggalan untuk memiliki majalah ini yang berharga cuma RM8.00 sahaja. Selain memiliki halaman yang lebih tebal berbanding majalah memancing lain, pelbagai maklumat,tips dan coretan pengalaman pemancing lain turut diterbitkan. Jangan lupa untuk memiliki majalah ini yang telah berada di pasaran sekarang.

Sabtu, 3 September 2011

Ikan Kelah - King Of The River



Apa itu Ikan Kelah?

Menurut Wikipedia: Ikan Kelah atau Mahseer adalah ikan kap dalam keluarga Cyprinidae yang bersisik besar, dan merupakan ikan sukan yang digilai dan banyak terdapat di India dan secara amnya di Asia Selatan.
Ikan ini digambarkan pada asalnya oleh Hamilton pada tahun 1822, dan pertama kali disebut dalam cabaran memancing dalam Majalah Oriental Sporting pada tahun 1833, dan kemudiannya menjadi buruan kegemaran pemancing British yang menetap di India.

Spesies Golden Mahseer diketahui mencapai 2.75 meter (9 kaki) panjangnya dan 54 kilo gram (118 paun) beratnya, walaupun spesimen sebesar ini jarang dinampak pada hari ini.
Ikan Kelah mendiami di sungai serta tasik, dan naik ke anak sungai yang pantas serta dasar sungai yang berbatu-batan untuk membiak. Serupa dengan jenis ikan kap yang lain, mereka merupakan omnivor dan makan bukan sahaja alga, krustasia, serangga, katak, dan ikan yang lain, tetapi juga buah-buahan yang jatuh daripada pokok-pokok di atas. Selain daripada ditangkap untuk sukan, ikan kelah juga merupakan sebahagian perikanan komersil di India.

Rabu, 24 Ogos 2011

SeLaMaT HaRi RaYa AiDiLFiTRi


Alhamdullilah, Ramadhan telah sampai ke penghujungnya. Kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfiri kepada semua rakan-rakan saya, keluarga dan juga kepada semua pengunjung blog saya yang beragama islam. Jika terdapat salah dan silap, saya memohon maaf dan ampun dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Semoga di hari yang mulia ini kita akan saling bermaafan dan mengeratkan lagi hubungan sesama kita.

Kehadiran Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah sesungguhnya menjanjikan suatu limpahan nikmat yang besar dan harus disyukuri oleh umat Islam. Aidilfitri yang bermaksud Hari Raya Fitrah, Hari Raya kesucian manusia. Disebut juga sebagai hari kembalinya kesucian kepada kita. Kembalinya fitrah kepada kita dan kita pun harus tampil sebagai manusia suci dan baik, sebaik-baiknya kepada sesama manusia.

Isnin, 8 Ogos 2011

Dewan Kegemilangan - 5



Sekali lagi, salah satu trips yang telah diuruskan oleh saya sendiri ketika di Kemaman telah menjadi salah satu tajuk utama di akhbar Berita Harian pada hari Sabtu (6th August 2011) yang lepas. Ucapan terima kasih  dan penghargaan kepada wartawan SISIPAN JORAN dari akhbar Berita Harian iaitu En Zulhilmi Hat kerana sudi menerbitkan artikal berkenaan trip ini. Di sini saya sertakan artikal berkenaan yang telah saya copy dari http://www.bharian.com.my/bharian/articles/CabaranasyikEbekPerak/Article/index

Ahad, 31 Julai 2011

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan


Bulan Ramadhan menjelang lagi. Ini bermakna setiap umat Islam diwajibkan untuk berpuasa. Dengan kedatangan bulan yang mulia ini saya ingin mengucapkan kepada semua pengunjung blog  ini "Selamat Menyambut Ramadhan dan Berpuasa"

Semoga segala ibadat pada bulan mulia ini di terima dan diberkati oleh Allah sebagaimana hadis ini..

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W. di dalam sabdanya yang
bermaksud:
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda : ' Barangsiapa
yang mengerjakan ibadat dan beriman dan perhitungan di bulan Ramadan
diampuni Allah dosanya yang telah lalu
'.

Selain itu saya juga ingin memohon seribu kemaafan sekiranya saya ada berbuat salah dan silap di blog ini.

Do'a malaikat Jibril menjelang Ramadhan " "Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:
* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada);
* Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami isteri;
* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya

Selasa, 26 Julai 2011

JaLaN - JaLaN Di KuchinG SaRawaK


Seperti kebiasaan, selepas kami pulang dari memancing. Kami akan mengambil kesempatan untuk membeli belah sebelum pulang ke rumah. Kunjungan kami ke Kuching Sarawak tidak kami sia-siakan. Selepas berada di tengah lautan selama 4 hari, kami bermalam selama sehari di bandar Kuching untuk berehat dan membeli-belah. Kuching Sarawak memang memberi pelbagai pilihan dan tempat menarik untuk melancong dan membeli-belah.

Isnin, 25 Julai 2011

Red of Sarawak

Tahun ini merupakan tahun ke-2 saya berkunjung ke Negeri Sarawak Bumi Kenyalang untuk memancing. Seperti kebiasaan, saya mengikuti trip yang dianjurkan oleh D7L. Bagi pemancing di negara ini, Bumi Kenyalang merupakan lubuk yang dihuni oleh ikan Merah (Red Snapper) yang bersaiz besar. Kebanyakkan ikan Merah yang dipancing di negeri ini mempunyai size lebih 4kg dan pernah di record kan lebih 10kg pernah di pancing oleh pemancing disana. Kebanyakan merah di sana di pancing di lubang-lubang yang terdapat di perairan negeri ini. Lubuk yang terkenal di negeri ini ialah Tanjung Datu and Paloh. Selain itu, bot memancing di Negeri Sarawak ini hanya akan berhenti di lubang-lubang yang dipercayai terdapat Ikan Merah hanya lebih kurang 5 minit memberi satu kelainan dan pengalaman buat pemancing yang pertama kali ke sini. 

Bagi saya, memancing di sini lebih santai dan tidak perlu menunggu lama ketika memancing membuatkan saya sentiasa ke sini setiap tahun. Selain itu, pengalaman menaikan ikan tenggiri menggunakan teknik Jigging pada waktu malam membuatkan keinginan saya ke sini semakin kuat. Di sini saya lampirkan coretan perjalanan saya di Kuching Sarawak

Rabu, 20 Julai 2011

Dewan Kegemilangan - 4


Credit dan tahniah kepada Man CB dari D7L sebagai penulis artikal dan ribuan terima kasih kepada Editor Majalah Sirip keluaran Julai 2011 kerana sudi menerbitkan artikal dan laporan kami ke Kuching, Sarawak pada tahun lepas. Tahniah juga kepada Megat GTS kerana berjaya menundukkan tenggiri terbesar pada trips tersebut. Di harap rakan-rakan yang lain dapat meneruskan lagi usaha murni dengan menghantar artikal memancing untuk memajukan lagi industri memancing di negara kita. Di sini saya sertakan lampiran laporan yang telah di tulis oleh rakan saya iaitu Man CB untuk trips kami di Sarawak pada tahun lepas.


Isnin, 18 Julai 2011

Trip Sungai Tembeling 2011 - Part II


Pengalaman memancing di Taman Negara Ulu Tembeling Pahang bersama-sama Tuan Guru Dato Dr. Harun Din merupakan pengalaman manis selama saya menceburi hobi memancing ini. Peluang ini tidak saya sia-siakan untuk mengenali beliau dengan lebih rapat lagi. Sebelum ini saya telah sertakan sedikit sebanyak coretan laporan perjalanan kami ke Taman Negara bersama beliau. Dan di sini saya menyambung  semula coretan saya ketika memancing dan berkhemah di Taman Negara Ulu Tembeling, Pahang.

Waktu pagi yang nyaman di Kampung Pagi


Sabtu, 16 Julai 2011

Trip Sungai Tembeling 2011 - Part I



Pulangnya saya dari Trips Mapur dan Merapas Indonesia, saya meneruskan rutin harian saya di tempat kerja. Ketika waktu petang, boss saya memanggil saya ke biliknya. Ketika bertemu dengan beliau, boss saya memaklumkan bahawa Kelab Memancing di syarikat saya akan ke Taman Negara Ulu Tembeling Pahang pada hari lusa. Saya di wajibkan menyertai trip ini memandangkan saya merupakan President Kelab Memancing di syarikat saya. Saya yang masih keletihan selepas pulang dari trips di Indonesia terpaksa menurut dan tidak dapat untuk mengalak dari pergi ke Taman Negara. Walaupun dalam keletihan, ada beberapa berita baik yang menyebabkan saya bersemangat untuk pergi ke sana. Di sana saya akan memancing bersama seorang ulama terkenal di negara kita, selain itu, ini merupakan pertama kali saya ke sana dan impian saya untuk memancing ikan kelah menguatkan semangat saya. Apa yang terbaik bagi saya ialah kami akan dibawa ke sana dengan menaiki helicopter yang ditempah khas oleh syarikat saya. Saya juga dimaklumkan bawaha seramai 40 orang yang kebanyakannya merupakan oldtimer yang berpengalaman memancing kelah dan ikan-ikan di Ulu Tembeling. Di sini saya sertakan sedikit coretan laporan saya ke Taman Negara Ulu Tembeling untuk tatapan semua.

Jumaat, 15 Julai 2011

MaPuR - MeRaPaS IndoNeSia - 2011 - Part II


Selepas kami menaiki bot Sea Star, Bot mula bergerak ke perairan Pulau Mapur &  Pulau Merapas. Perjalanan kesana mengambil masa selama 6 jam. Sepanjang perjalanan kami penuhi dengan membuat persediaan peralatan memancing. Setibanya di sana kami pun mula memulakan aktiviti memancing.

Ikan pembuka tirai dari saya -  Ikan Kaci 

Bergambar bersama Abang Long Bangi dengan tangkapannya


Selasa, 5 Julai 2011

MaPuR - MeRaPaS IndoNeSia - 2011 - Part I


Trips ini telah dianjurkan oleh D7L dengan jayanya. Credit untuk Airpool D7L kerana berjaya menguruskan trips ini dengan cemerlang. Ini merupakan pengalaman pertama saya memancing di perairan Pulau Mapur. Jemuduk Bintik merupakan target ikan pancingan kami di sana. Bulat Rintik (panggilan tempatan) atau Jemuduk Bintik yang terdapat di perairan ini lebih bersaiz lebih besar jika dibandingkan dengan  saiz Jemuduk dari perairan kita

Lokasi Pulau Mapur. 


Rabu, 29 Jun 2011

KeMaMaN - 2011

Trips singkat selama sehari semalam ini di rancang oleh saya bersama beberapa orang rakan saya untuk menduga perairan yang telah lama kami tidak singgahi. Cukup untuk menghilangkan gian memancing kami..


Jumaat, 20 Mei 2011

Teknik Mencandat @ Eging






Apakah itu mencandat atau Eging?
Maksud sebenar mencandat atau Eging ialah, teknik untuk memperdayakan atau memancing specis sotong dengan menggunakan set ringan dan menggunakan sejenis umpan tiruan khas. Di negara kita umpan tiruan tersebut lebih dikenali sebagai candat.
Eging pula ialah gelaran popular bagi pemancing di negara Jepun, Teknik Eging lebih tertumpu di kawasan berbatu di tepian pantai dan kawasan karang ataupun tukun.

Sebelum kita mengenali teknik candat ataupun teknik Eging, adalah lebih baik jika kita mengenali specis sotong yang boleh diperdayakan oleh teknik mencandat ataupun Eging.

Menurut Wikepidia,Sotong ialah sejenis haiwan laut atau nama scientifiknya Teuthida, terdapat 300 spesies terdapat di dunia ini. Sotong bertulang satu dan mempunyai lapan lengan serta dua tentakel yang biasanya lebih panjang. Di negara kita hanya terdapat beberapa jenis sotong yang boleh di candat@Eging dan sentiasa menjadi buruan peminat pancingan ini

Ahad, 8 Mei 2011

Aplikasi Teknik Driff



Teknik menghanyut umpan ataupun driff sesuai untuk menjerat ikan yang gemar bermain di permukaan seperti ikan layar, mersuji, tenggiri, alu-alu, todak, belitung,talang dan tidak untuk ikan yang bermain di dasar seperti jenahak, merah,kerapu dan lain-lain.Teknik ini juga kadang kala dapat menjerat ikan yang gemar bermain di pertengahan air seperti ikan Haruan Tasik.

Jika ingin menjerat ikan yang  memiliki gigi yang tajam seperti tenggiri,todak dan alu-alu, maka perambut dawai amat disyorkan dan untuk ikan seperti belitung, mersuji dan layaran, memadai jika menggunakan perambut florocarbon. 

Sabtu, 7 Mei 2011

Dewan Kegemilangan - 3



Kerapu boron merupakan istilah tempatan yang di beri kepada spesis kerapu yang saiznya melebih 7kg, berbeza dengan Kerapu Kertang dimana kerapu kertang menpunyai warna yang lebih gelap dari kerapu boron. Bentuk badan kerapu boron juga lebih memanjang jika dibandingkan dengan kerapu Kertang yang mempunyai bentuk badan yang lebih bulat. Kerapu boron merupakan spesis kerapu biasa yang banyak terdapat di perairan negara kita dan cuma telah membesar sehingga saiz bagak dan kadangkala ada yang mencecah puluhan kilo. Kini kerapu boron susah untuk didapati dan permintaan terhadapnya masih tinggi terutamanya dari kaum cina. Kejayaan trips kami di Pulau Jarak dengan mendaratkan belasan ekor boron dalam satu malam telah menberi inspirasi kepada saya untuk menulis satu artikal berkenaannya. Artikal tersebut telah saya serahkan kepada sahabat saya iaitu En Zulhilmi Hat di Berita Harian.

Setinggi-tinggi penghargaan dan dengan berbesar hati saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada saudara Zulhimi Hat dari Berita harian kerana sudi mengeluarkan artikal mengenai trips memancing saya dan rakan-rakan di Pulau Jarak - IW pada baru-baru ini. Saya juga ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada sahabat saya iaitu Indra kerana berjaya menaikan Ikan kerapu Boron yang terbesar dan berjaya menjadi front page untuk sisipan joran dari surat khabar Berita Harian pada ini Sabtu, 7 Mei 2011.
Disini saya sertakan artikal tersebut yang telah saya copy di http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KerapuboronPulauJarak/Article/index

Isnin, 25 April 2011

Jarak-IW 2011



Sepanjang pengalaman saya memancing, Memancing di Perairan Jarak dan IW merupakan spot memancing yang sangat mencabar dan paling cerewet sekali. Selain terpaksa melalui cuaca yang tidak mengizinkan, cabaran yang paling utama sekali ialah untuk mendapatkan hasil yang terbaik semasa trips di Jarak-IW. Ini kerana terpaksa melayan kerenah ikan yang begitu cerewet untuk memakan umpan.

Tahun ini merupakan pengalaman saya yang ke-2 mengunjungi perairan ini. Pengalaman yang pertama banyak mengajar saya tentang teknik-teknik memancing di sini. Tetapi sikap ikan yang sentiasa berubah-ubah belum mampu memberi satu guarantee untuk menaikan ikan. Bagi yang pernah menaiki Bot Seagull ke perairan Jarak-IW, sememangnya masak dengan perangai ikan-ikan disini. Suasana kumpau sering mengiringi pemancing ketika di sana. Ini bukan lah disebabkan ketiadaan ikan. Tetapi faktor teknik dan umpan memainkan peranan penting ketika memancing di Jarak-IW. Selain itu pemancing juga perlu mempunyai ketahanan untuk berjaga sepanjang malam memandangkan ikan berkelas - A hanya hadir pada waktu malam hingga ke pagi hari.

Isnin, 18 April 2011

Tsunami: Apa kesannya kepada kita sebagai seorang pemancing

Tsunami.



Menurut wikipedia, Tsunami bermaksud :
Tsunami (津波 bahasa Jepun ombak besar di pelabuhan, Kunrei-shiki: Tunami), sering kali disalah takrifkan sebagai gelombang pasang surut (tidal wave), merupakan satu siri ombak yang berlaku selepas gempa bumi (dalam laut), tanah runtuh, aktiviti gunung berapi, letupan, atau hentaman meteor dalam atau berhampiran laut. Tenaga setiap tsunami adalah tetap, fungsi ketinggiannya dan kelajuannya. Dengan itu, apabila gelombang menghampiri pantai, ketinggiannya meningkat sementara kelajuannya menurun. Gelombang tersebut bergerak pada kelajuan tinggi, hampir tidak disedari apabila melintasi air dalam, tetapi meningkat kepada ketinggian 30 meter atau lebih. Tsunamis boleh menyebabkan kerosakan teruk pada kawasan persisiran pantai dan kepulauan.

Tenggiri Tuas dah Kembali



As Salam,

Adoiiiiii......perbagai panggilan telephone dari rakan-rakan yang berada di Utara tanahair mengajak memancing di Tuas baru-baru nie. Kesibukan dengan kerja-kerja yang menimbun membataskan saya untuk mengikuti trips di sana. Mungkin belum ada rezeki saya untuk kesana. Apa yang telah di maklumkan kepada saya, tenggiri sudah membanjiri di kawasan tuas di sana. Tapi adakah daya saya, hanya mampu mendengar cerita dari kawan-kawan sahaja. Apa pun, saya tetap akan ke sana jika masa mengizinkan. Hanya gambar-gambar lama sahaja yang mampu mengubat rindu saya untuk memancing di sana.

Bagi yang berminat untuk kesana boleh la menaiki bot di Yan di jeti Dulang Kecil ataupun di Sungai Dua.
Jangan lepaskan peluang jika ada kesempatan untuk kesana. 

Dewan Kegemilangan - 2

Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada sahabat saya, En Zulhilmi Hat yang sudi mengeluarkan artikal mengenai Pertandingan Memancing KSRS yang telah di anjurkan oleh KSRS yang dikelolai oleh saya sendiri di sisipan Joran Pada Sabtu lepas 16 April 2011.



NASARUSSIN bergambar bersama replika cek yang disampaikan oleh Shafiz.


Patin bantu Nasarussin juarai memancing KSRS
Oleh Zulhilmi Hat
hilmi@bharian.com.my
2011/04/16

SERAMAI 180 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan memancing anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Shapadu (KSRS) yang berlangsung di Kolam Warga Emas Seksyen 24, Shah Alam, baru-baru ini.

Dalam pertandingan itu, Nasarussin Mohd Saad, 41, yang berjaya menaikkan patin seberat 7.08 kilogram muncul juara dan membawa pulang wang tunai RM1,500.


Pertandingan Memancing KSRS




Assamualaikum,
Selepas sibuk mengendalikan pelbagai event, barulah saya mempunyai kesempatan untuk update blog saya nie.
Seperti yang saya telah nyatakan pada blog saya  sebelum ini. Pada 27 Mac 2011 yang lepas, telah berlangsung satu pertandingan memancing anjuran Kelab Sukan & Rekreasi yang telah oleh dikelola oleh saya selaku Presiden Kelab Mancing KSRS dan ahli-ahli commitee KSRS.

Tanpa di sangka-sangka, sambutan dari orang ramai amatlah mengalakkan. penyertaan seramai 200 orang pemancing dan lebih 100 pengunjung yang hadir sudah cukup memenuhkan seluruh Kolam Warga Emas di Seksyen 24 Shah Alam. Selain tu aktiviti-aktiviti sampingan juga saya selitkan untuk para-para isteri & anak-anak pemancing yang datang memenemani para suami yang sebuk memancing. Aktiviti-aktiviti tersebut ialah pertandingan mewarna dan demo masakan dari chef terkenal untuk para isteri. Selain itu kehadiran para clown dan gerai-gerai yang menjual pelbagai makanan dan product-product lain menambahkan lagi kemeriahan  pertandingan ketika itu.

Selasa, 8 Mac 2011

Pertandingan Memancing Shapadu 2011



PERTANDINGAN MEMANCING (TERBUKA)KELAB SUKAN & REKRIASI SHAPADU 2011

Salam,
Buat julung kalinya, saya yang merupakan Presiden Kelab Mancing  Kelab Sukan & Rekreasi Shapadu   ingin menjemput tuan/puan yang berminat untuk menyertai Pertandingan Memancing (Terbuka) yang di organized oleh saya yang  bertempat di:

Tempat: Kolam Warga Emas Seksyen 24 Shah Alam
Date: 27 Mac 2011
Time: 8.00 am - 12.00 pm
Yuran Pernyertaan: RM35

Hadiah yang telah ditawarkan amatlah lumayan iaitu sebanyak RM1500 untuk tempat pertama, RM750 untuk tempat ke -2 dan RM375 untuk tempat ke -3. hadiah untuk tempat ke-4 sehingga ke - 10 juga di sediakan.


Pertandingan ini bukan sahaja terbuka kepada para pekerja Shapadu sahaja tetapi terbuka kepada semua yang berminat.

Diharap dengan penyertaan tuan dan puan akan memeriahkan lagi pertandinggan ini.

Sekian,

MaxxPeacock

Ahad, 6 Mac 2011

Dewan Kegemilangan

Akhirnya keluar juga artikal tentang  kunjungan kami ke Bangkok pada Dec 2010 di Sisipan Joran.Kami berterima kasih pada Zulhilmi Hat dari Berita Harian kerana sudi mengeluarkan laporan trips kami.Walaupun ikan teersebut berjaya di pancing oleh sifu saya (Fahiz Hussin), tapi kami sangat berbesar hati dapat tumpang sekaki bergambar dengan hasil tangkapanya.

Disini saya sertakan keratan akbar dan artikal yang diolah oleh saudara Zulhilmi Hat yang saya copy paste dari website akhbar Berita Harian




Kolam Tokong




Arghhh...bosan, itu la la yang sering terungkap dari mulut saya kalau terlalu lama terperuk di dalam rumah. Tangan dah mengigil memandangkan ketiadaan trips memancing. Virus gian memancing lebih melarat terutama di hari minggu. Kalau nak harapkan jemputan kawan-kawan, semua trips 2011 masih lama lagi.
termenung sekejap saya memikirkan di mana boleh saya melabuhkan umpan.

Akhirnya terlintas di dalam hati mengingatkan kata -kata rakan saya sebelum ini. Kolam Tokong di Bukit Kemuning dah convert menjadi Kolam Siakap. Dulu cuma kolam udang galah, kini sudah menjadi kolam ikan.
Wahhhh...!!! boleh la try macam ni. Peralatan terus di sediakan serta merta. Malam ni saya perlu ke sana. Sorang-sorang pun tak kisah, janji saya lepas gian mancing  yang dah kronik ni.

Bungsamran Bangkok Dec 2010


Apabila kita bercerita tentang TEAM COFA di forum Malaysia Fishing.net, rata-rata ahlinya terdiri daripada pemancing tegar kolam air tawar. Setakat ini hampir kesemua kolam memancing air tawar di Lembah Klang telah dilawati oleh ahli team COFA ini. Oleh kerana sudah khatam memancing di kolam-kolam  sekitar Lembah Klang, maka timbullah keinginan meraka untuk memancing di kolam yang lebih extreme  serta mampu memberi kami kepuasan memancing sehingga maksimum.
Oleh itu, cadangan ini telah saya sampaikan pada rakan saya Fahiz Hussin dari D7L dan ia telah disambut baik oleh beliau.  Maka satu trips gabungan D7L & COFA yang rata-rata ahlinya dari Lembah Klang telah dirancang dan lokasi yang menjadi  pilihan kami ialah Bungsamran Fishing Pond di Bangkok, Thailand. Seramai 9 orang yang terdiri daripada team D7L & COFA telah menyertai trips ke kolam yang sememangnya terkenal di seluruh dunia ini dengan ikan-ikan yang berasal dari  Sungai Mekong dan Amazon. Perjalanan kami bermula seawal pagi di Lapangan Terbang LCCT dengan penerbangan yang paling awal ke Bangkok dan kami tiba di Lapangan Terbang Suvarnahbumi Bangkok pada pukul 11.00 pagi.
Setibanya kami di Airport Suvarnahbumi, van yang telah ditempah terlebih dahulu  telah menanti kami dan perjalanan ke Bungsamran mengambil masa 40 minit dari lapangan terbang Bangkok.

Jumaat, 4 Mac 2011

Kenyir 30 Julai - 2 Aug 2010




Coretan Ku Di kenyir

Trips ini di rancang pada beberapa bulan sebelum ini dan telah di organize oleh teman-teman pancingan saya iatu Slimer dari D7L & Fresh dari The Buduz,
Kali ini trips ini telah disertai oleh pelbagai Team Memancing yg terdiri daripada Team UGATz,The Buduz, Geng Tapah Sembat & 08 Anglers. Ahli-ahlinya terdiri daripada:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...